Oleh Noor Azawani Wahap
Komunikasi adalah kunci utama dan perkara kritikal dalam situasi
kecemasan dan krisis bencana. Ia
penting untuk pentadbiran logistik,
usaha menyelamat mangsa serta medium utama hubungan dua hala.
Aplikasi komunikasi tanpa wayar biasanya antara perkara pertama dalam
mana-mana tindak balas kecemasan, menyelamat atau misi bantuan.
Walau bagaimanapun, peralatan tanpa wayar di daratan seperti telefon
selular atau radio mudah alih hanya berguna apabila menara komunikasi
dan peralatan tetap lain tidak terjejas akibat bencana.
Dalam kebanyakan situasi kecemasan, infrastruktur ini sama ada telah
dimusnahkan oleh bencana seperti tragedi New Orleans selepas Taufan
Katrina atau sememangnya tidak ada seperti kejadian gempa bumi di
Pakistan.
Realiti ini menjadikan komunikasi adalah penting bagi pihak berkuasa
tempatan (PBT) dan agensi penyelamat untuk mempunyai akses kepada
rangkaian komunikasi tanpa wayar yang tidak bergantung kepada
infrastruktur daratan.
Satelit komunikasi adalah satu-satunya infrastruktur komunikasi tanpa
wayar yang tidak mudah terdedah kepada kerosakan akibat bencana alam,
kerana pengulang (repeater) utama menghantar dan menerima isyarat dari
kapal angkasa satelit yang terletak di luar atmosfera Bumi.
Pengguna hari ini mempunyai dua jenis rangkaian komunikasi satelit
yang boleh didapati untuk menyokong aktiviti kecemasan iaitu Sistem
Satelit Geopegun (GEO) dan Satelit Orbit Bumi Rendah (LEO).
GEO terletak 36,000 kilometer di atas bumi di kedudukan yang tetap
dan memberi perkhidmatan kepada negara atau rantau yang meliputi
sehingga satu pertiga Bumi.
Satelit ini mampu menyediakan pelbagai perkhidmatan komunikasi, termasuk suara, video dan data jalur lebar.
Satelit ini beroperasi dengan peralatan di stesen bumi yang terdiri
daripada antena tetap yang sangat besar sehingga ke peranti mudah alih
bersaiz telefon bimbit.
Kini terdapat hampir 300 satelit GEO komersial di orbit Bumi yang
dikendalikan oleh syarikat satelit global, serantau dan nasional tidak
termasuk satelit yang dikendalikan oleh kerajaan, tentera dan lain-lain.
Rangkaian tersebut juga digunakan sebelum bencana di kebanyakan
negara untuk menyediakan data seismik dan pengesanan banjir kepada
agensi kerajaan bagi membolehkan amaran awal diberikan.
Ia juga digunakan untuk tujuan penyiaran notis bencana atau amaran
dan memudahkan komunikasi umum dan aliran maklumat antara agensi-agensi
kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bantuan dan orang ramai.
Satelit LEO pula beroperasi di orbit antara 780 kilometer (km) hingga
1,500 km bergantung pada sistem dan berupaya menyediakan komunikasi
suara dan komunikasi data berkelajuan rendah.
Satelit tersebut boleh beroperasi dengan peranti mudah alih yang bersaiz telefon bimbit besar.
Kriteria ini memberikan satu lagi penyelesaian satelit yang bernilai bagi hubungan semasa bencana.
Walau bagaimanapun, bagi memastikan penggunaan yang efisien, pihak
berkuasa dan penyelamat berkaitan perlulah mengenal pasti serta lebih
bersedia dalam pemilihan teknologi, sistem dan peranti yang diperlukan
mengikut kesesuaian muka bumi, tujuan dan pelbagai aspek yang lain.
Perancangan tersebut memerlukan pemahaman tentang keupayaan serta jenis sistem yang pelbagai.
Ini kerana, teknologi satelit berupaya menyediakan perkhidmatan
komunikasi jalur sempit (narrowband) dan jalur lebar (broadband) serta
internet, data, video, atau suara melalui protokol internet (IP) dengan
kelajuan bermula daripada 64 Kbps dengan peranti pegang sehingga kepada 4
Mbps dengan VSAT (Very Small Aperture Terminal) mudah alih.
Stesen penerima atau pemancar kekal pula berupaya menyediakan perkhidmatan sehingga 40 Mbps.
Oleh itu, teknologi satelit komunikasi boleh digunakan sebelum,
semasa, dan juga selepas bencana berlaku bagi membantu prosedur
mitigasi, menyelamat, serta usaha pemulihan bencana seperti di berikut:
1-Sistem peranti pegang
Peranti jenis ini terdiri daripada sistem telefon satelit, alat
kelui (pager) dan peranti di dalam kenderaan yang bersaiz tangan dan
kecil.
Peranti jenis ini sesuai digunakan sejurus selepas bencana iaitu
infrastruktur serta kemudahan komunikasi (gelombang mikro, selular) dan
elektrik telah musnah.
Peranti jenis ini amat mudah digunakan dan tidak memerlukan
kepakaran. Kos komunikasi pula bergantung kepada tarif pembekal dan
syarikat telekomunikasi.
2-Sistem peranti mudah alih
Peranti jenis ini sesuai dan mudah untuk diangkut dan boleh
beroperasi di mana-mana sahaja seperti di dalam kenderaan yang sedang
bergerak seperti kereta, van, bot penyelamat atau pun pesawat.
Peranti jenis ini berguna kerana menyediakan perkhidmatan sambungan
berkelajuan tinggi dan cepat bagi tujuan penilaian kerosakan, maklumat
perubatan, dan menyelamat dalam bentuk suara, video dan data.
Bergantung kepada sistem yang dibekalkan, peranti ini mampu untuk beroperasi antara lima dan 30 minit di mana-mana sahaja.
Bergantung pada jenis sistem dan pemilihan perkakasan, pemasangan dan
penggunaan peranti jenis ini boleh di selenggara sendiri atau dengan
kehadiran bantuan teknikal.
3-Sistem Satelit Komunikasi Kekal:
Terminal jenis ini selalunya dipasang secara kekal sekiranya
peralatan perlu digunakan lebih daripada seminggu dan digunakan bagi
prosedur pra-bencana dan selepas bencana seperti pemantauan alam sekitar
operasi pemulihan, dan komunikasi sokongan.
Sistem ini boleh dikonfigurasikan untuk menyediakan transmisi data
berkelajuan rendah sehingga sangat luas, penyiaran video berkualiti
tinggi untuk menggantikan infrastruktur telekomunikasi tempatan atau
nasional. Sistem jenis ini memerlukan kepakaran teknikal dan melibatkan
harga yang lebih tinggi.
Perancangan awal bagi jangka panjang untuk mitigasi bencana alam
boleh disokong oleh rangkaian satelit bersama-sama sensor in-situ
seperti data hidrologi, tolok hujan dan peralatan yang dipasang oleh
pihak berkuasa tempatan.
Sistem satelit komunikasi juga dilihat sebagai salah satu cara yang
paling berkesan bagi memastikan kesinambungan operasi semasa berlakunya
kecemasan dan bencana.
Perlu diingatkan, sama ada kita mampu menjangkakan sesuatu bencana
akan berlaku atau pun telah berlaku, komunikasi adalah satu perkara yang
kritikal dan penting.
Oleh itu, perancangan awal yang menyeluruh dan berkesan perlu
dilaksanakan seperti mengemaskini peralatan komunikasi yang mengiringi
misi bantuan dan pemulihan bencana.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !