RAMAI daripada kita sudah pasti mengetahui bahawa Barack Obama yang
melawat Malaysia selama
tiga hari bermula Sabtu lalu adalah Presiden
Amerika Syarikat (AS) berkulit hitam yang pertama.
Kita juga tahu beliau boleh menyebut beberapa patah perkataan dalam
bahasa Melayu berikutan latar belakangnya yang pernah menetap dan
bersekolah di Indonesia selama empat tahun.
Bagaimanapun, banyak lagi sisi lain individu yang menjadi Presiden AS ke-44 yang jarang diketahui kita.
* PENAMPILAN FIZIKAL
Beliau termasuk di kalangan segelintir Presiden AS yang kidal.
Presiden berusia 52 tahun juga sentiasa tampil dengan rambut pendek yang
dikenali sebagai gaya Obama.
Gaya yang membawa imej muda dan gembira adalah hasil cetusan idea
tukang gunting dari Chicago, Zariff yang telah menggunting rambut beliau
sejak lebih 10 tahun lalu dengan kadar sama iaitu AS$21 (RM69).
* KEGEMARAN
Obama suka membaca buku antaranya buku cerita Harry Potter dan ketika
zaman kanak-kanak, buku yang disukainya bertajuk Where the Wild Things
Are.
Beliau juga mempunyai hobi mengumpul komik Spider-Man dan Conan the Barbarian serta memelihara seekor anjing bernama, Bo.
Rancangan televisyen yang disukainya adalah Homeland dan The Wire
manakala artis diminati ialah Rolling Stones, Jay Z dan Stevie Wonder.
Hawaii adalah kawasan percutian yang sering dikunjunginya. Obama juga
pernah menceritakan, ketika menetap di Indonesia beliau suka bermain
layang-layang, berlari di sawah padi dan menangkap pepatung.
* SUKAN BOLA KERANJANG
Bola keranjang adalah sukan yang paling disukainya dan sepanjang
kempen pilihan raya presiden beliau banyak melibatkan diri dalam
permainan itu sama ada dengan rakyat biasa, pelajar mahupun anggota
tentera.
Kehebatannya bermain bola keranjang ketika di sekolah tinggi menyebabkannya digelar O'Bomber oleh rakan-rakan.
* GAJET
Jam tangan yang dipakai Obama sekarang adalah daripada jenama Jorg
Gray 6500 yang berwarna hitam dengan tali kulit kerbau serta mempunyai
logo Perkhidmatan Rahsia AS.
Sebelum menjadi Presiden, beliau juga sering dilihat memakai jam tangan jenis TAG-Heuer 1500.
Telefon bimbit yang diguna oleh Obama adalah BlackBerry Curve 8300
dan Curve 8900. Komputer riba pula adalah jenis MacBook Pro dan Dell
Latitude E6420 serta turut memiliki iPad 3.
Untuk berkomunikasi dari pejabatnya termasuk dengan pemimpin dunia
lain beliau menggunakan telefon talian tetap Cisco Unified IP Phone
7965G dan jika komunikasi sulit, beliau menggunakan telefon talian
tetap, Telecore IST-2.
* MENJADI JUTAWAN HASIL JUALAN BUKU
Sebelum menjadi Presiden AS, Obama sudah dikategorikan sebagai seorang jutawan hasil royalti dua bukunya.
Buku memoirnya bertajuk Dreams from My Father membolehkannya menerima
royalti AS$5 juta (RM16.4 juta) dan Audacity of Hope mengenai kisahnya
bertanding untuk menjadi Presiden AS mendapat royalti sebanyak AS$1
juta (RM3.2 juta).
Buku-buku tersebut yang turut dikeluarkan dalam versi audio telah
membolehkannya memenangi Anugerah Grammy untuk album suara terbaik
sebanyak dua kali pada 2006 dan 2008.
* KERETA DAN KAPAL TERBANG
Obama kini menggunakan kenderaan rasmi digelar The Beast yang kalis
peluru. Kereta yang direka bentuk dan dikeluarkan oleh General Motors
pada 2009 itu juga kalis serangan gas dan biokimia serta boleh bergerak
walaupun tayar pancit.
Sebelum menjadi Presiden, beliau mempunyai beberapa kereta termasuk Ford Escape Hybrid dan Chrysler 300C.
Kapal terbang Air Force One yang digunanya pula adalah daripada jenis
Boeing 747-200B. Pesawat tiga tingkat itu dilengkapi dengan puluhan
telefon, radio dua hala, kemudahan komunikasi satelit, Internet dan 24
saluran televisyen.
Ia juga mempunyai dinding yang mampu menahan gelombang elektromagnetik yang dihasilkan letupan bom nuklear.
* RUMAH
Selain menetap di kediaman rasmi di White House di Washington, Obama
juga mempunyai vila mewah setinggi dua tingkat bernilai AS$2 juta (RM6.5
juta) di Kenwood, Chicago, Illinois.
Rumah yang dibelinya pada 2005 mempunyai enam bilik tidur dan enam
tandas. Antara jiran Obama ialah legenda tinju dunia, Muhammad Ali.




0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !