Pengeluaran darah tiruan dalam skala industri mungkin menjadi realiti
apabila ujian yang dijalankan
bagi darah buatan daripada sel stem
manusia telah diuji pada pesakit buat kali pertama.
Ini adalah kejayaan terkini dalam usaha saintis untuk membina semula
tubuh manusia termasuk tulang tiga dimensi dan anggota bionik.
Penyelidik kanan Prof. Marc Turner yang mendapat dana daripada
Wellcome Trust sebanyak £5 juta (RM27 juta) memberitahu The Telegraph
kumpulannya telah berjaya menghasilkan sel darah merah yang sesuai bagi
pemindahan darah klinikal.
Prof. Turner telah menghasilkan teknik untuk mengkultur sel darah
merah daripada induced pluripotent stem (iPS) cells - sel yang diambil
daripada manusia dan diadun dengan sel stem.
Persekitaran biokimia yang sama dengan di dalam badan manusia
kemudian dibina untuk menjana sel iPS supaya matang sehingga menjadi sel
darah merah jenis darah O yang universal.
Prof. Turner berkata, walaupun pelbagai penyelidikan lain dilakukan
di tempat lain, ini pertama kali darah dapat dihasilkan dalam kualiti
dan piawaian yang selamat untuk dipindahkan kepada manusia.
Terdapat rancangan untuk menjalankan ujian seawal 2016 atau
selewatnya 2017 dan melibatkan tiga pesakit Thalasemia iaitu gangguan
darah yang memerlukan pemindahan darah berterusan. Kelakuan sel darah
yang dihasilkan akan dipantau.
"Sel akan selamat," katanya sambil menambah proses berkenaan membolehkan sel dialihkan.
Teknik berkenaan memberikan prospek tentang bekalan yang terhad bagi
darah jenis O bebas daripada penyakit dan sesuai untuk semua pesakit.
Walaupun bank darah mempunyai simpanan yang mencukupi di United
Kingdom (UK) dan pemindahan biasanya selamat sejak jangkitan Hepatitis B
dan HIV pada tahun 1970-an dan 1980-an, banyak tempat di dunia
mempunyai masalah dengan pemindahan darah.
Bagaimanapun meningkat proses berkenaan bagi memenuhi permintaan
adalah cabaran yang besar kerana keadaan makmal Prof. Turner tidak
sesuai bagi skala industri.
"Satu unit sel mengandungi trilion sel darah merah dan dua juta unit darah dipindahkan di UK setiap tahun," katanya.
Buat masa ini kosnya melibatkan £120 bagi satu pemindahan darah.
Jika teknik Prof. Turner boleh ditingkatkan, ia boleh mengurangkan kos pemindahan darah.
Pengarah Pemindahan Teknologi Wellcome Trust, Dr. Ted Bianco berkata,
mereka tidak patut memandang rendah cabaran menterjemah sains kepada
prosedur rutin bagi klinik.
"Tiada yang lebih mencabar bagi Prof. Turner dan kumpulannya selain
menghasilkan sel darah merah dalam skala industri yang boleh
menggantikan darah yang didermakan pengguna dan menyelamatkan nyawa
ramai orang," katanya.
Pada masa ini, kilang darah manusia masih lagi menjadi impian yang bakal menjadi kenyataan.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !