Adalah dianggarkan terdapat kira-kira 12,000 satelit yang aktif di
ruang angkasa ketika ini manakala
puluhan ribu serpihan bersaiz lima
sentimeter (sm) dan ke atas yang berpunca daripada satelit yang tamat
tempoh dan pelancar sejak puluhan tahun yang lalu.
Fungsi dan satelit adalah pelbagai bergantung kepada misinya di
angkasa lepas tetapi secara umumnya teknologi tersebut boleh menjadi
pemantau yang berguna bila bila masa terutama dalam keperluan mendesak.
Malah ada yang menganggap memiliki satelit sebagai satu kebanggaan dan maruah negara.
Jelas dan nyata Malaysia sebenarnya memerlukan satelit dan terlibat
secara aktif dalam industri aeroangkasa. Industri tersebut terbahagi
kepada dua iaiu aeronautik dan juga astronautik.
Bidang aeronautik merujuk kepada penerbangan yang berkisar sekitar
bumi seperti pesawat dan kenderaan tanpa pemandu (UAV) manakala
astronautik merujuk teknologi stesen angkasa antarabangsa (ISS), roket
dan satelit.
Berdasarkan kepada maksud yang disebutkan, nyata Malaysia sudah
terlibat dalam teknologi aeroangkasa termasuk astronautik kerana pernah
memiliki dan membangunkan dua satelit sebelum ini iaitu TiungSat-1 dan
RazakSAT.
Kita memang perlukan satelit, dan rasanya kita tidak boleh hidup
tanpa satelit," kata Prof. Dr. Renuganth Varatharajoo, seorang pakar
tempatan dalam bidang satelit.
Beliau yang juga Timbalan Naib Canselor (TNC) Jaringan Industri dan
Masyarakat (JIM), Universiti Putra Malaysia (UPM) bagaimanapun mengakui
pembangunan teknologi satelit bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan
kos tinggi, kepakaran yang ramai dan masa yang panjang.
Beliau memberi contoh, pembangunan satu satu sistem dalam satelit
sahaja boleh mengambil masa 10 tahun dan memerlukan kos serta ramai
pakar. Dengan mengambil contoh pembangunan sistem bateri pada satelit
bukan mudah disempurnakan kerana sebagai sebuah objek yang akan
berfungsi di angkasa dan tidak boleh diselenggarakan dari bumi jika
berlaku masalah, pembangunan sistem bateri sahaja perlu mengambil kira
ketahanannya sehingga tempoh hayatnya habis.
Malah, beliau berkongsi isu yang sama yang pernah berlaku di Negara
Kesatuan Soviet ketika berakhirnya Perang Dunia Kedua, sebanyak 4,000
pakar peringkat kedoktoran dipanggil hanya untuk membangunkan enjin
roket ketika itu menggambarkan bukan mudah membangunkan hanya satu dalam
sistem mana-mana cabang dalam aeroangkasa.
Sistem atau subsistem dalam satelit adalah pelbagai antaranya bateri,
kawalan misi komunikasi, pemantauan haba satu sistem komputer dan
sistem elektrik.
Menurut beliau lagi, satelit terbahagi kepada dua bahagian itu
payload atau beban bayar dan juga platform, platform ibarat badan yang
membawa beban bayar yang menjadi penentu misi sesebuah satelit.
Nadi sebuah satelit ialah platform yang boleh menerima beberapa
jenis beban bayar," katanya sambil menjelaskan bahawa beban bayar adalah
misi sebuah satelit seperti pemantauan, komunikasi, penyelidikan atau
juga aplikasi lain termasuk memantau planet.
Pembangunan satelit juga perlu seiring dengan kelengkapan Stesen
Penerima Bumi yang mana ketika ini kerajaan telah membangunkan Pusat
Angkasa Negara di Sungai Lang, Banting Selangor dan Stesen Penerima Bumi
Temerloh milik Agensi Remote Sensing Malaysia.
Pada masa sama beberapa stesen bumi milik swasta untuk satelit
komunikasi serta yang digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT).
Dalam konteks pembangunan satelit, stesen penerima bumi ini dikenali
sebagai segmen bumi
Mengenai misi satelit, beliau memberi contoh, satelit pemantau atau
penderia bumi mungkin membawa peralatan dalam bentuk kamera dan, radar.
Bagi muka bumi dan persekitaran atmosfera seperti Malaysia, radar
sangat berguna bagi merakam imej yang sering terlindung kerana awan
tebal.
Satelit jenis itu kata Renuganth, perlu dalam aspek pengurusan
bencana, mengurus aset, pemantau perairan dan hutan serta perisikan
manakala satelit komunikasi sangat berguna untuk kegunaan agensi
keselamatan negara.
Ciri-ciri sebuah satelit pula kata beliau ialah boleh diterbangkan,
mengorbit dan membuat navigasi penerbangan manakala saiz adalah pelbagai
bergantung kepada misinya di angkasa lepas.
Oleh itu adalah jelas bahawa Malaysia memerlukan kedua-dua jenis satelit tersebut ketika ini sesuai dengan keperluan semasa.
Tetapi suka saya sebutkan kegagalan dalam bidang angkasa bukan satu pilihan," tegasnya.




0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !