MASYARAKAT dapat membaca mengenai perjuangan Datuk Dol
Said menentang British menerusi pelancaran buku Sejarah Ringkas Naning
tulisan Datuk Paduka Raja Sayyid Shaikh Ariffin Al Haj
Raja Sayyid
Shaikh Mohd Dahlan.
Bagaimanapun, demi menarik minat golongan muda, perjuangan tokoh
sejarah itu juga bakal diadaptasikan ke pentas teater menerusi teater
Monodrama Legenda Datuk Dol Said (Orang Kaya Seri Merah).
Menggunakan khidmat pengarah berkaliber, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman,
teater berkenaan turut mendapat kerjasama penuh daripada Istana Nan
Panjang Undang Wilayah Naning 19, Persatuan Geliga Merah Opera dan Dewan
Bahasa dan Pustaka (DBP).
Teater monodrama tersebut diterajui oleh pelakon berbakat besar, Ungku
Hariz Faizal Mohamed Fadli atau lebih mesra disapa sebagai Hariz. Bekas
peserta Pilih Kasih 2 itu akan memainkan empat karakter berbeza iaitu
Dol Said, isteri Dol Said, Gabenor British Tanah Melayu R Ibbetson dan
Syed Sya'aban.
Teater Monodrama Legenda Datuk Dol Said (Orang Kaya Seri Merah)
mengisahkan perjuangan kerajaan Naning, Negeri Sembilan sewaktu
pemerintahan Dol Said sehingga berlaku peperangan dengan British sekitar
1832 yang dinamakan Perang Naning.
Ia bakal dipentaskan di Auditorium DBP pada 15 hingga 18 Mei ini pada jam 8.30 malam.
Ikuti temu bual Zass bersama pengarah tersohor ini mengenai projek teater terbaharunya itu.
Apakah objektif utama pementasan teater ini?
Persembahan teater ini bertujuan memperkenalkan sejarah dan perjuangan
Naning sewaktu zaman Dol Said kepada masyarakat terutamanya kepada
generasi muda kini. Ia juga sebagai satu usaha dan sumbangan kepada
tokoh negara yang memperjuangkan kedaulatan dan kemerdekaan negara.
Selain itu, ia juga bertujuan meningkatkan apresiasi rakyat terhadap
karya berbentuk masyarakat khususnya teater pentas sebagai salah satu
dari genre sejarah sekali gus meningkatkan kesedaran, kepekaan dan
semangat ingin membabitkan diri dalam usaha mempertahankan kedaulatan,
pembangunan dan kemajuan negara dalam kalangan generasi muda.
Boleh anda jelaskan mengenai konsep teater ini?
Teater Legenda Datuk Dol Said disampaikan secara monodrama yang mana ia
hanya melibatkan seorang pelakon bagi menghidupkan empat watak secara
serentak dan berdurasi sejam lebih sambil diselangi dengan kemunculan
penari sebagai korus.
Keseluruhannya, cerita ini bervisikan perjuangan. Amanat dan harapan
disatukan dalam luahan penuh emosi dengan dialog berpandukan fakta
sejarah.
Sebelum ini, menerusi pra pelancaran yang dibuat, terdapat beberapa nama dipilih. Bagaimana dengan nama pilihan anda itu?
Memang perancangan awalnya, saya melihat beberapa nama lain seperti
Awie, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Rosyam atau Faizal Hussein sesuai
untuk membawakan watak ini.
Mereka ada memberi maklum balas yang baik tetapi tiada komitmen tinggi untuk terlibat dalam pementasan teater ini.
Jadi, apa pula kriteria Hariz, sehingga dia berjaya menjadi teraju utama teater ini?
Saya akhirnya membuat keputusan mencari seorang pelakon yang ada
kemahiran dalam membawakan watak ini. Ketika itu, orang pertama yang
saya fikirkan adalah Hariz, apatah lagi apabila dia mempunyai kemahiran
asas dalam teater baik dari segi lakonan, monolog atau tarian.
Apa yang pasti, tahap lakonannya sememangnya hebat dan saya percaya
Hariz boleh merealisasikan impian saya. Alhamdulillah, dia memberikan
komitmen sangat baik. Malah, dalam tempoh seminggu dia boleh bagi dialog
penuh dalam kepalanya.
Apakah cabaran yang perlu dihadapi dalam mengarah teater ini?
Sebenarnya, apa saja bentuk pementasan ada cabarannya, cuma ia mengikut
cara pengarah atau tenaga produksi itu mengatasinya. Secara peribadi,
saya ambil tugas berat ini dengan memastikan apa yang ingin disampaikan
dapat diterima dengan jelas oleh penonton. Seperti yang diketahui, Hariz
perlu membawa empat karakter dalam masa sejam. Jadi, saya kena pastikan
dia tidak tertekan dengan dialog yang akan dilontarkan.
Bagaimana dengan penghasilan skrip? Ada olahan atau tidak?
Keseluruhan pergerakan cerita ini datang daripada saya sendiri.
Bagaimanapun, saya turut berbincang dengan Abd Walid Ali yang kemudian
menulis skrip teater ini. Dia menjalankan kajian melalui naskhah dan
sumber yang berkaitan dengan Naning dari kurun ke 13 hingga 19.
Kemudiannya, apabila dia berjumpa dengan saya, idea itu digabungkan.
Bukan itu saja, saya juga membuat olahan besar supaya teater ini tidak
membosankan penonton.
Anda kerap tampil dengan teater bergenre komedi seram. Mengapakah anda melakukan kelainan kali ini?
Genre komedi seram adalah genre kegemaran saya. Begitupun, sebagai
pengkarya, saya perlu mempelbagaikan kreativiti. Saya anggap ini adalah
sebagai satu cabaran untuk terus berkarya.
Saya yakin dengan pengalaman sebelum ini, banyak membantu saya untuk
mementaskan monodrama ini. Memang kali ini, tiada lawak jenaka. Tetapi,
saya yakin dengan empat watak ini, ia dijangka dapat menghiburkan
penonton. Tambahan pula, saya diapit tenaga produksi yang hebat. Mereka
pula sentiasa memberi pandangan dengan mengeluarkan idea bernas.
Apakah harapan anda?
Saya mengharapkan doa dan restu daripada semua serta yakin teater ini
akan diterima ramai. Sokongan semua amat diperlukan. Tiket untuk
menonton berharga RM30, RM50 dan RM100 boleh didapati di talian
www.ezitix.net
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !