Artikel Terkini :
.
Home » » 'Tracking Lifebuoy', prototaip pelampung berteknologi ciptaan pelajar sekolah

'Tracking Lifebuoy', prototaip pelampung berteknologi ciptaan pelajar sekolah

Written By zabidi morad on Monday, 7 November 2016 | 17:55

SERI KEMBANGAN: Pengalaman hampir lemas ketika kecil mendorong Kang Xiao Wei, 18, mencipta sebuah prototaip pelampung penyelamat yang dinamakan 'Tracking Lifebuoy'.

Saat mencemaskan dilalui pelajar Kuan Cheng High School itu menjadi pendorong beliau dan dua rakannya menghasilkan alat yang berjaya memenangi pingat gangsa dalam pertandingan Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) 2016, di KLCC, Jun lalu.

Beliau berkata bahan asas Tracking Lifebuoy berbentuk oktagon itu ialah gabus yang dipasang alat pengesan gelombang ultrasonik serta pengesan haba di setiap penjuru berperanan mengesan kedudukan mangsa lemas selain dilengkapi motor, bateri dan propeller (kipas) sebagai penggerak.

"Dengan itu, jika berlaku situasi lemas, orang berhampiran mangsa hanya perlu mencampakkan pelampung ini ke dalam air dan ia secara automatik akan bergerak ke arah haba yang dikesan dikeluarkan tubuh manusia (mangsa) selain bantuan gelombang ultrasonik sebagai navigasi.

"Alat ini amat membantu sekiranya keadaan arus air terlalu deras, kerana mangsa hanya perlu berpaut pada Tracking Lifebuoy yang sentiasa terapung seterusnya mampu menjadi penyelamat daripada terus dihanyutkan," katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui di Pameran Kejuruteraan Sains Kuala Lumpur (KLESF) 2016 di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa MINES, di sini semalam.



Prototaip pelampung berteknologi ciptaan pelajar-pelajar Kuan Cheng High School yang dinamakan 'Tracking Lifebuoy'. - fotoBERNAMA

Rakannya, Yong Bei Sheng, 18, selaku ketua kumpulan projek itu berkata mereka mengambil masa tiga bulan untuk menghasilkan prototaip Tracking Lifebuoy dengan modal kira-kira RM400.

Yong berkata mereka mula membuat kajian dan perancangan untuk merealisasikan idea cetusan Kang sejak April lepas dan sanggup berkongsi duit poket untuk membeli keperluan peralatan selain menjadikan video di laman YouTube sebagai rujukan utama.

"Kesibukan sebagai pelajar menyebabkan kami hanya mempunyai masa berkumpul pada waktu malam untuk berbincang mengenai projek ini meliputi aspek reka bentuk dan pemasangan peralatan.

"Biarpun versi pertama Tracking Lifebuoy tidak menjadi seperti diharapkan, kami terus melakukan kajian dan penambahbaikan sehingga prototaip ini berfungsi dengan sempurna sehingga membawa kepada kejayaan di ITEX," katanya.

Katanya mereka merancang untuk terus melakukan kajian dan menghasilkan versi terbaik Tracking Lifebuoy seterusnya diangkat menjadi satu peralatan menyelamat yang digunakan oleh pasukan penyelamat serta pusat rekreasi air pada masa hadapan.
Seorang lagi rakan sekelas mereka yang turut bersama mencipta pelampung itu ialah Chong Yuan Shing, 18. -- Bernama
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Persatuan Bekas Pelajar Al - Tahzib - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PERSATUAN BEKAS PELAJAR AL-TAHZIB