Oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA
MENGANDUNG adalah saat yang diimpikan seorang wanita bergelar isteri.
Kelebihan ibu hamil
Jika bersolat di surau atau masjid, kita mungkin melihat ibu mengandung
menunaikan solat secara duduk atau duduk di atas kerusi. Pernah
terdengar orang mengata, “Tadi berjalan elok je, kenapa bila solat, dia
duduk.
”
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila seorang perempuan
mendirikan solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga
kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga
melalui mana-mana pintu yang dia sukai.” (Riwayat Ahmad)
Pensyarah Akademik Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti
Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Ustazah Siti Fatahiyah
Mahamood menyifatkan situasi itu adalah kemudahan diberikan ALLAH kepada
mereka yang mempunyai alasan kukuh.
adalah ALLAH SWT memberikan keringanan (rukhsah)
dalam melakukan ibadah seperti solat.
“Solat adalah perkara diwajibkan ke atas umat Islam, tak kira dalam
keadaan sihat atau sakit selagi dia berada dalam ruang lingkup syarat
wajib solat.
“Solat tidak boleh ditinggalkan kerana itu adalah ibadah utama Muslim.
Bagi mereka yang kurang berkemampuan untuk mengerjakan solat secara
berdiri, dibolehkan baginya solat mengikut kemampuannya seperti duduk
ataupun baring.
“Begitu juga wanita hamil yang mengalami kesukaran berbeza antara satu
sama lain. Jika wanita itu mampu bersolat secara berdiri dengan
sempurna, maka diwajibkan ke atasnya solat berdiri.
“Sekiranya dia tidak mampu berdiri, dibolehkan ke atasnya solat duduk
atau baring mengikut kemampuannya ketika mengerjakan solat,” katanya
kepada Rehal.
Menurutnya, hak wuduk bagi wanita hamil dalam istihadah sama seperti
wanita lain yang mengalami istihadah. Merujuk Kitab al-Fiqh ‘Ala
al-Mazahib al-Arba’ah karangan Syeikh ‘Abdurrahman al-Jazairi : Menurut
Mazhab Syafi’ie satu wuduk hanya untuk satu solat fardu sahaja. Jika dia
ingin mengerjakan berbilang-bilang solat fardu (seperti solat qadak,
nazar atau menjamakkan) dia wajib mengulangi wuduknya.
Untuk mengerjakan solat sunat, harus dia mengerjakan seberapa banyak solat sunat yang diingini dengan satu wuduk.
Namun menurut Mazhab Hanafi dan Hanbali; harus dia mengerjakan dengan
satu wuduk seberapa banyak solat fardu yang dikehendaki, iaitu tiada
beza dengan solat sunat.
Di sebalik segala kesusahan dan kesukaran yang dihadapi oleh wanita
ketika proses kehamilan, di situlah terbitnya salah satu rahsia apabila
ALLAH mewajibkan kita mentaati ibu dan ayah.
Teliti darah jenis apa
Kebiasaan wanita mengandung tidak mengalami perdarahan ketika
kehamilan. Namun apabila berlaku permasalahan kesihatan ketika
kehamilan, tidak dinafikan ada wanita yang mengalami perdarahan.
Siti Fatahiyah berkata, sebagai Muslimah, penting untuk menentukan
apakah jenis darah yang keluar bagi menentukan limitasi ibadah yang
perlu dilaksanakannya.
Untuk menilai apakah jenis darah yang keluar, maka kita perlu rujuk kepada hukum asal jenis darah itu.
Menurut Kitab Al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah hasil penulisan Dr Abdul
Karim Zaidan, pada dasarnya seseorang wanita mengalami beberapa jenis
perdarahan iaitu darah haid, nifas dan istihadah.
“Darah haid adalah darah yang keluar ketika dalam kitaran haid yang
normal. Ulama juga membahaskan dari aspek bilangan hari keluarnya darah
haid.
“Secara ringkas dapat disimpulkan bilangan darah haid yang keluar
mengikut Mazhab Syafi’ie adalah antara enam hingga tujuh hari pada
kebiasaan wanita atau yang paling lama 15 hari."
Beliau menambah, Mazhab Hanafi pula berpendapat ia antara tiga ke 10
hari. Mazhab Maliki pula berpendapat tempoh maksima haid adalah
antara15 hingga 17 hari.
“Berbalik kepada persoalan perdarahan yang dialami ketika proses
kehamilan, perlu dinilai dengan teliti apakah jenis darah yang dialami.
Ia amat penting bagi menentukan apakah limitasi ibadah yang perlu
dilaksanakan termasuk limitasi perkara yang perlu dielakkan,” katanya.
Menurutnya lagi, berdasarkan kepada jenis darah yang telah diterangkan,
maka apabila wanita mengalami perdarahan ketika proses kehamilan yang
membawa ke arah pengguguran bayi, maka perlu diambil kira apakah bayi
itu cukup sifat atau tidak.
Jika dirujuk ilmu sains perubatan, tempoh masa bagi cukup sifat berlaku
ketika minggu ke 10 kehamilan. Dengan itu, apabila berlaku perdarahan
ketika kehamilan lebih daripada 10 minggu, maka darah yang keluar adalah
darah nifas. Jika ia berlaku sebelum masuk minggu ke sepuluh, maka
darah yang keluar adalah darah istihadah.
Manakala jika darah yang keluar ketika hamil tidak membawa ke arah
pengguguran, maka kebanyakan ulama berpendapat ia adalah darah
istihadah.
Jika dirujuk kepada pakar perubatan pendapat mereka sama. Kecuali jika
ia mengalir dengan tiada henti di usia kandungan 3-6 bulan maka mengikut
Mazhab Maliki adalah darah haid.
Qadak, bayar fidyah?
Bagi wanita yang hamil, jika dia risau keselamatan dirinya dan bayi
dalam kandungan, dia dibolehkan berbuka puasa. Ini adalah berdasarkan
sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesungguhnya ALLAH menggugurkan
(meringankan) setengah hari beban solat ke atas orang yang bermusafir,
menggugurkan (memberi rukhsah) ke atas wanita yang hamil dan menyusukan
anak akan kewajipan berpuasa”. (Riwayat Tirmidzi, an-Nasa’i & Abu
Daud)
Namun ulama membahaskan berkaitan kewajipan wanita hamil tersebut perlu
qadak sahaja atau qadak dan membayar fidyah ataupun dibolehkan membayar
fidyah sahaja kerana tiada nas yang jelas disebutkan berkaitan cara
qadak yang perlu dilaksanakan oleh wanita hamil dan yang menyusukan
anaknya.
Merujuk kepada Kitab Fiqh Syafi’ie, Imam Syafi’ie dan Imam Ahmad
berpendapat jika wanita hamil itu berbuka puasa kerana risau akan
keselamatannya maka diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa tersebut
(tidak perlu berturut-turut harinya).
Tapi jika wanita menyusu berbuka puasa kerana risaukan anaknya, maka
diwajibkan ke atasnya untuk qadak puasa dan membayar fidyah.
Wanita mengandung yang tidak dapat berpuasa sepenuhnya kerana dikenal
pasti pakar perubatan jika berpuasa memudaratkan dan mengancam nyawanya,
hukumnya tertakluk seperti hukum ke atas orang tua yang sudah terlalu
lemah atau orang sakit yang tidak diharapkan sembuh kerana apabila dia
berpuasa akan memudaratkan lagi sakit tersebut.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !