PELBAGAI isu kesedaran sivik seperti kerenah negatif perokok,
kebersihan dan vandalisme
kemudahan awam masih tidak banyak berubah
berbanding dahulu.
Masih ada masyarakat yang tidak bertimbang rasa apabila merokok,
bersifat pengotor dan melakukan kerosakan terhadap kemudahan awam.
Jika itu keadaannya, bagaimana negara hendak mencapai status negara maju sedangkan mentaliti masyarakat masih sedemikian rupa.
Tabiat buruk perokok yang tidak bertimbang rasa hanyalah sebahagian
daripada isu kesedaran sivik yang menimbulkan masalah kepada masyarakat
dan pengguna kemudahan awam.
"Tabiat merokok memang amat sukar diatasi, tetapi sebaiknya
berpada-padalah, jangan pula hingga menyusahkan orang lain," akui Yang
Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP), Samsudin
Mohamad Fauzi.
Panduan yang paling penting ialah dengan memastikan anda tenyehkan
puntung rokok sehingga benar-benar terpadam bagi memastikan sisa bara
rokok tidak menyebabkan kebakaran.
Jika perlu, merokoklah di tempat yang tersorok dan mempunyai
pengudaraan terbuka, katanya, mengambil contoh kebiasaan perokok di
Jepun yang merokok hanya di tempat khas malah membawa dompet rokok khas
untuk membuang habuk rokok.
"Mereka amat mementingkan kebersihan dan tidak akan membuang habuk dan
puntung rokok merata-rata tempat, membuktikan kesedaran sivik perlu
dijadikan sebahagian daripada budaya kita," tambah beliau.
Hati nurani
Masih ramai perokok di negara ini yang tidak mempunyai hati nurani
sewajarnya malah sengaja merokok di kawasan awam seperti kawasan
hospital, sekolah dan tangga pejabat tertutup tanpa mempedulikan
kesihatan mahupun perasaan orang lain.
Ada pula yang merokok di dalam ruang berpenghawa dingin berpusat
seperti di lobi pejabat atau bilik hotel, sekaligus menyebabkan
pencemaran udara dalaman yang mampu menjejaskan kesihatan semua pengguna
dalam bangunan itu.
Malah, ada juga perokok yang tanpa rasa segan sengaja menghembus ke
arah laluan orang ramai, misalnya, mereka yang terdesak untuk merokok
selepas makan tetapi malas untuk beralih tempat ke lokasi yang lebih
sesuai.
Tidak cukup dengan itu, mereka yang membuang habuk dan puntung rokok di
merata-rata tempat seperti pinggan makan, lantai dan tangga laluan
awam, sekaligus mengotorkan kawasan awam dan menyakitkan mata pengunjung
lain.
Larangan bersebab
Samsudin mengingatkan bahawa, larangan merokok di kawasan seperti
sekolah, taman permainan kanak-kanak dan hospital adalah larangan
bersebab, memandangkan kesan asap rokok pasif dalam kalangan kanak-kanak
serta pesakit adalah terbukti amat buruk.
"Saintis membuktikan bahawa menghirup udara yang mempunyai kesan rokok
akan memburukkan lagi keadaan pesakit yang mana sistem imun mereka telah
sedia terjejas, serta kanak-kanak dan bayi yang masih belum mempunyai
paru-paru yang kuat.
"Lagipun, ada banyak peralatan perubatan yang mudah terbakar, jadi,
janganlah pula kita menyebabkan kebakaran di hospital dan
bertanggungjawab terhadap beratus-ratus nyawa," tegur beliau yang tidak
mahu tabiat buruk kesan kekurangan kesedaran sivik menyebabkan
penganiayaan terhadap orang lain selain kekesalan seumur hidup pelaku.
Mentaliti pengotor
Kebersihan adalah antara faktor sosial utama yang dilihat dalam usaha
menaiktaraf negara menjadi negara maju, tetapi sayangnya masih ramai
yang bermentaliti pengotor.
Bagi menjelaskan perkara ini, Samsudin memberi contoh tabiat pengguna kedai makan dan tandas awam.
Malah beliau mempersoalkan adakah kita sengaja membiarkan sisa makanan dan tisu kotor bersepah-sepah jika makan di rumah?
Baginya, adab penggunaan tandas awam boleh dikatakan semakin baik
selari dengan keberkesanan pelbagai kempen dan usaha penambahbaikan
berterusan oleh pihak berkuasa setempat.
"Namun masih ada yang memandang enteng dan tidak menggunakan tandas dengan cermat sehingga membahayakan pengguna lain.
Ini termasuk sengaja membiarkan lantai dibanjiri air kerana tidak mahu
menutup kepala paip dengan baik atau sengaja membiarkan hos air tidak
disangkut di tempat sepatutnya," tambah beliau.
Lebih buruk lagi, ada pula yang bersikap pengotor dan tidak menjirus
tandas dengan sebersihnya sehingga menyebabkan pengguna seterusnya
‘tidak lalu’ untuk mengguna tandas itu lagi.
Ada juga pengguna yang mempunyai habit membuang sampah seperti puntung
rokok, plastik pembalut tuala wanita dan tisu ke dalam lubang tandas
sehingga menyebabkannya tersumbat.
Sekali lagi Samsudin mempersoalkan samaada mereka akan membersihkan
tandas yang tersumbat angkara perbuatan tangan mereka sendiri?
"Sudah tentu tidak bukan.
"Sekiranya kita bersikap pembersih dan cermat ketika makan atau
menggunakan tandas di rumah, apa salahnya kita bawa adab itu ketika
berada di luar atau menggunakan kemudahan awam," tegur beliau lagi.
Lagipun, katanya, tingkah laku kita sebagai orang dewasa diperhati dan
icontohi oleh anak kita dan golongan yang lebih muda.
Vandalisme
Tahap kesedaran sivik rakyat Malaysia boleh dikatakan semakin baik jika
dinilaikan dari sudut penjagaan taman awam seperti taman permainan dan
taman rekreasi.
Malangnya, habit buruk seperti sengaja membuang sampah merata-rata
terutama di tempat awan seperti pantai dan hutan rekreasi tetap menjadi
isu yang memalukan nama negara di mata pengunjung.
Begitu juga tabiat vandalisasi kemudahan awam hingga menyebabkan
peralatan seperti bangku, tandas, wakaf dan papan tanda rosak, masih
lagi berlaku sedangkan tanpa sedar barangkali, mereka telah membazirkan
wang rakyat untuk membaikinya.
Lantas, Samsudin menyeru semua pihak agar berusaha mengubah tabiat
buruk ketika mengguna kemudahan awam selain membudayakan kebersihan
sekaligus bagi mencapai status negara maju. - Bernama
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !