Oleh MUHAMAD MAT YAKIM
PERNAH dengar cerita lelaki tergila-gilakan lelaki? Yang saya dengar pada pagi minggu lepas
Pengakuan yang kata orang putih, 'straight from the horse's mouth'
ataupun terus dari mulut yang empunya cerita, bukan daripada pihak
ketiga.
Mendengar cerita Zul, 40-an, memang buat saya teruja. Kopi O panas yang
tadinya tidak sabar-sabar hendak saya hirup, akhirnya tidak berusik.
Langsung saya terlupa pada kopi O itu kerana tumpuan saya, dan seorang
lagi kawan, Mazli, seratus peratus adalah kepada Zul yang begitu galak
bercerita mengenai kisahnya, tergila-gilakan seorang lelaki bernama Che
Man.
"Saya masa itu, kalau tak tengok Che Man dalam sehari, tak boleh duduk.
Asal teringat, saya akan lalu depan rumah dia. Kalau dapat tengok dia,
Alhamdulillah. Kalau tak dapat, tengok kelibat pun jadilah. Paling
tidak, dapat tengok rumah, atau bumbung rumah, terubatlah sikit rindu,"
katanya tanpa segan silu.
"Sakan hang ni Zul, macam orang kena senyonyong...," kata saya.
"Ya, macam itulah. Kadang-kadang kalau sudah teringat sangat, saya
sampai tak boleh tidur. Tengah malam pun saya lalu di depan rumah dia.
Ada pernah pukul dua, tiga pagi pun saya lalu, semata-mata dengan harapan nak tengok dia," katanya lagi.
Itulah cerita Zul yang buat kami berdua, saya dan Mazli terpempan, antara percaya dengan tidak pagi itu.
Akan tetapi melihat pada kesungguhan Zul bercerita, saya yakin dia
berkata benar. Zul kawan kami. Hampir setiap pagi kami minum bersama di
warung kopi itu.
Ok, saya akan kembalikan anda kepada cerita yang lebih awal, mengapa
Zul jadi begitu? Mengapa dia begitu 'admire', tergila-gilakan Che Man
yang 10 tahun lebih tua daripadanya?
Apakah kerana dia jadi mangsa tersalah sasaran minyak senyonyong Che Man?
Tidak mungkin. Malah mustahil. Che Man orang masjid, dan sudah lebih
setengah abad usianya, mana mungkin Che Man masih 'main' minyak
senyonyong yang syirik itu.
Atau apa mungkin Zul pengamal cinta songsang?
Ya, saya percaya inilah kemungkinan yang anda semua sedang fikirkan.
Sebenarnya tidak. Baik Zul, mahupun Che Man, mereka berdua orang
baik-baik. Cuma peliknya apa yang sudah berlaku kepada Zul hingga dia
jadi begitu. Tidak boleh tak tengok Che Man.
Betullah Zul orangnya baik. Tetapi bukan mustahil pula terutama bagi
orang yang pertama kali jumpa untuk berasa curiga terhadapnya. Apa lagi
dengan Che Man. Kata Zul, dalam keadaan dia tergila-gilakan Che Man
hingga sering sahaja dicari ruang atau peluang untuk berjumpa dan duduk
bersama dengan lelaki itu, akhirnya Che Man sendiri terperasan.
"Suatu hari Che Man tanya saya ketika kami terserempak di pekan. Dia
ajak saya ke kedai mamak. Saya punyalah seronok, tak payah nak
sorok-sorok. Rupa-rupanya tujuan Che Man ajak saya minum, semata-mata
kerana dia nak tanya, mengapa saya selalu ikut (ekori) dia.
Kata dia, selama ini, dia sedar saya selalu ikut dia, lalu depan rumah
dia malah yang pada waktu tengah malam itu pun dia terperasan.
"Kata Che Man, pernah sekali dua, waktu saya lalu, dia sedang ambil
angin di luar rumah, dia nampak saya datang naik motor, tapi saya yang
tak perasan dia." Akhirnya, apabila Che Man sudah bertanya begitu, Zul
sedar masa yang paling sesuai sudah sampai untuk dia berterus terang
kepada Che Man.
"Saya keluarkan dompet, dari dompet itu saya keluarkan sekeping gambar.
Gambar itu saya serahkan kepada Che Man. Berubah terus muka dia. Saya
tanya Che Man, sama atau tidak? Che Man angguk, kemudian saya kata, ini
abang saya. Abdul Rahman namanya. Saya terlalu sayangkan, terlalu
rindukan abang saya. Abang saya ini sudah dekat setahun meninggal.
"Kebetulan wajah Che Man saling tak tumpah dengan dia. Sebab itulah,
saya selalu cari jalan untuk tengok Che Man. Walaupun Che Man bukanlah
abang saya yang sebenar tetapi sekurang-kurangnya reda sikit, terubat
sikit rindu saya kepada dia. Percayalah Che Man, saya bukan ada niat tak
baik pada Che Man atau keluarga Che Man, saya hanya nak tumpang wajah
Che Man yang sama macam abang saya. Itu saja," kata Zul mengimbas.
Zul kemudian mengeluarkan dompetnya, dan ditunjukkan pada kami gambar
abangnya. Ya, memang 'sejibik' kata orang wajah abangnya, Abdul Rahman
dengan Che Man.
Saya kemudian bertanya kepada Zul, berapa lama dia jadi begitu, 'tergila'gilakan' Che Man?
Jawab Zul, "dekat setahunlah juga!"
Akhirnya terserlah, apa yang mendorongnya jadi begitu adalah kerana
kasih sayang yang begitu mendalam seorang adik kepada abangnya.
Setelah si abang meninggal dunia, si adik jadi gila bayang,
terindu-rindu akan abangnya setiap masa. Demikian kasih sayang sesama
saudara yang sangat dituntut.
bukan sekadar cerita, tetapi pengakuan.
Home »
Penulis Tamu
» Apabila Zul tergila-gilakan Che Man
Apabila Zul tergila-gilakan Che Man
Written By zabidi on Friday, 2 May 2014 | 05:33
Labels:
Penulis Tamu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !