NEW YORK - Utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)
mengenai Myanmar, Vijay
Nambiar semalam berkata, kerajaan Myanmar perlu
membuka laluan kepada etnik Rohingya, yang dianggap sebagai pendatang
haram di negara itu, untuk mendapatkan kerakyatan sebagai penyelesaian
kepada konflik agama dan etnik di negara itu.
Beliau berkata, keselamatan penduduk Rohingya akan terus terancam,
jika tindakan tersebut tidak diambil, dan pada masa sama memberi kesan
kepada reputasi Myanmar pada peringkat antarabangsa.
Nambiar berkata, status penduduk Islam di negeri Rakhine, Myanmar
masih belum diselesaikan, walaupun banyak janji diberikan oleh kerajaan
Myanmar untuk mengambil tindakan awal bagi menyediakan sijil kelahiran
sementara, pendaftaran kelahiran dan membenarkan etnik Rohingya bergerak
bebas.
Keperluan paling penting untuk penduduk Islam di Rakhine adalah
mengesahkan status kewarganegaraan mereka dan mendapatkan Kad
Pendaftaran Nasional daripada kerajaan (Myanmar) dan kemudian memberi
kerakyatan kepada mereka, bagi membolehkan penduduk Rohingya bergerak
bebas di negara itu dan mendapat pasport untuk ke luar negara,'' katanya
ketika berucap di Institut Kedamaian Antarabangsa, di sini.
Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha, menganggap etnik
Rohingya sebagai pendatang haram dari Bangladesh dan menafikan hak
mereka di negara itu, walaupun kebanyakan mereka telah menetap di
Myanmar sejak beberapa generasi lalu.
Penduduk Rohingya sejak beberapa tahun lalu menjadi sasaran serangan
kumpulan samseng beragama Buddha yang menyaksikan lebih 280 orang
dibunuh dan 140,000 orang lagi penduduk terpaksa melarikan diri.
Myanmar selesai menjalankan bancian penduduk tiga minggu lalu, namun
penduduk Rohingya tidak dimasukkan dalam bancian tersebut kerana mereka
tidak dibenarkan mendaftar diri sebagai penduduk daripada etnik
tersebut.
Nambiar berkata, terdapat banyak elemen dalam masyarakat Islam di
negeri Rakhine yang bersedia untuk bergerak ke arah penyelesaian itu.
Saya rasa ia adalah cara yang baik ke arah melaksanakan objektif itu
dengan segera dan kemudian menggunakan status itu untuk bergerak ke
arah mewujudkan perlembagaan politik yang akan berlaku dalam mana-mana
proses demokrasi," katanya. - AGENSI
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !