LUMRAH kehidupan selebriti, kebanyakan daripada mereka tidak pernah terlepas daripada kontroversi dan masalah peribadi.
Bukan sahaja kontroversi yang boleh menjejaskan nama, malah ada dalam
kalangan mereka tanpa segan silu mempamerkan perangai 'sebenar'.
Bukan sahaja soal pemakaian, malah ada juga segelintir daripada mereka
turut terlibat dalam gejala buruk termasuk gemar berpesta, terlibat
dengan pengambilan dadah dan alkohol.
Walaupun dunianya satu ketika dahulu 'hitam' dan didampingi rakan-rakan
artis yang sedemikian, namun istiqamah selebriti ini wajar diberi
pujian.
Hampir dua tahun berhijrah, pelakon dan pengacara ini bagaimanapun
masih menjadi pemerhati industri dan rakan-rakan artisnya yang masih
berada dalam kepompong yang sama.
Akui Yatt, 34, kadang kala, dia sendiri merasa sedih apabila
berita-berita mengenai selebriti Melayu Islam terpampang di dada akhbar
mengenai perkara-perkara yang mengaibkan.
"Walaupun saya tidak seteruk itu di satu masa dahulu, namun saya pernah
jahil dan jahat. Saya pernah mendedahkan aurat saya untuk tatapan orang
lain.
"Namun, kalau kita tutup aib orang, ALLAH SWT akan tutup aib kita.
Namun, ramai dalam kalangan kita sedia mendedahkan aib sendiri. Saya
sendiri tidak tahu untuk melabelkannya.
"Pun begitu, sebagai manusia, kita bukanlah penghukum dan penilai. Doakan sahaja mereka berubah dan sedar," katanya lagi.
Tambah Yatt atau nama sebenarnya, Haryati Hamzah ini, perkara yang turut meruntun hatinya juga adalah laman sosial.
"Saya sedih melihat peminat dan pengikut laman sosial bergaduh di alam
maya kerana berbeza haluan. Ada yang menyebelahi dan ada yang
membangkang tindakan selebriti.
"Saya sendiri tak tahu adakah selebriti itu sendiri membaca komen-komen
dan pergaduhan peminat mereka. Namun, bagi saya, adalah tidak elok jika
kita bersubahat dan menyokong perkara yang tidak baik.
"Ada baiknya jika kita berdoa agar mereka berubah dan jika mahu
menegur, gunalah platform yang tidak mengaibkan seseorang contohnya,
secara personal di 'inbox'," saran Yatt.
Tolak tawaran lakonan?
Bertanya mengenai perkembangan kerjayanya pula, Yatt mengakui jadualnya amat padat dengan beberapa aktiviti.
Menurut Yatt, hampir setiap hari, dia akan terlibat dalam program
motivasi dan dakwah di beberapa lokasi termasuk institut pengajian
tinggi (IPT), kementerian dan masjid.
"Alhamdulillah, hari-hari yang saya lalui berjalan dengan lancar dan boleh dikatakan hari-hari terisi dengan pelbagai aktiviti.
"Selain program motivasi dan dakwah, saya juga turut mengusahakan butik
pakaian Muslimah, Suci By Yatt Hamzah. Malah, sambutan yang diterima
sangat menggalakkan.
"Selain itu, saya juga terlibat dengan beberapa NGO termasuk Majlis
Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan program, Amal
Palestin, kutipan dana untuk Rohingya dan Mesir," katanya.
Walaupun sibuk dengan aktiviti dakwahnya, namun Yatt masih menerima tawaran dalam bidang lakonan.
Jelas Yatt yang juga pengacara untuk program, Al-Hidayah, di saluran
TV3, dia kini perlu lebih selektif dalam pemilihan naskhah dan watak.
"Alhamdulillah, walaupun saya sudah berhijrah, namun rezeki dalam
lakonan masih ada. Namun, saya berhadapan dengan kekangan masa.
"Setiap tawaran yang diterima, saya kena rujuk pada jadual saya
terlebih dahulu dan sebelum ini beberapa tawaran terpaksa ditolak kerana
jadual yang padat.
"Kalau dulu, saya meletakkan lakonan sebagai pekerjaan utama, kini
aktiviti dakwah dan kebajikan lebih menjadi keutamaan," katanya lagi.
Bantu selebriti berhijrah
Walaupun penghijrahan itu membawa perubahan kepada kehidupan yang lebih
baik, namun akui Yatt, ada dalam kalangan selebriti turut berdepan
dengan masalah dalam industri.
Menurut Yatt, tidak kurang juga pihak yang tidak bertanggungjawab turut
melabelkan artis yang berhijrah terlibat dalam parti pembangkang.
Malah, peluang untuk artis bertudung beraksi dilayar juga semakin tipis
apabila produksi kurang memberi ruang kepada golongan ini.
"Saya bersyukur kerana peluang saya dalam industri masih ada. Namun,
saya menerima banyak keluhan daripada artis yang berhijrah mengenai
peluang mereka untuk bekerja.
"Malah, ada yang beranggapan, artis bertudung labuh ini lebih memihak
kepada pembangkang walaupun kami tidak pernah mencampuri urusan parti.
Saya juga turut menerima tuduhan atas perkara yang sama.
"Selain itu, sekiranya kami terlibat dalam program yang dianjurkan oleh
kerajaan negeri yang dipimpin pembangkang, ada yang terus menuduh kami
terlibat dalam agenda politik," katanya yang terus mengambil langkah
berdiam diri dari melayan tuduhan yang dilemparkan sejak dahulu lagi.
Atas dasar prihatin terhadap golongan selebriti berhijrah yang
terpinggir, Yatt yang juga ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia
(Yadim), merancang untuk membantu rakan-rakannya.
Jelas ibu kepada Suci Hanania, 4, ini, dia bakal bekerjasama dengan
Yadim untuk menubuhkan NGO untuk memberi ruang kerja untuk rakan
selebriti.
"Perkara ini masih dalam perancangan dan Insya-ALLAH, jika tiada tiada
halangan, ianya bakal dimulakan pada sambutan Bulan Dakwah Negara, pada
Mei ini.
"Dalam program ini, kita akan bekerjasama dalam menerbitkan beberapa
projek termasuk teater dan projek yang berlandaskan Islamik.
"Saya sangat-sangat berharap agar program ini dapat dilaksanakan kerana
saya perlu berbuat sesuatu untuk membantu dan menjaga kebajikan
artis-artis yang berhijrah," katanya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !