SAO PAULO: Budak poster Brazil, Neymar meledakkan dua gol sebelum Oscar
melengkapkan jaringan ketiga yang menghadiahkan tuan rumah kemenangan
dramatik 3-1 ke atas Croatia pada perlawanan pembukaan Piala Dunia,
Kumpulan A di Corinthians Arena.
Begitupun, jaringan kedua peribadi bintang Barcelona itu pada minit
ke-72 menerusi sepakan penalti dianggap penuh kontroversi apabila
pengadil dari Jepun, Yuichi Nishimura menyalahkan kapten Croatia, Dejan
Lovren kerana menjatuhkan Fred sekalipun pemain itu dilihat sengaja
merebahkan badan.
Apa pun, jaringan pertama Neymar yang dianggap bintang
harapan tuan rumah pada minit ke-29 jelas menjadi pencetus utama
kebangkitan Brazil selepas Croatia terlebih dulu di depan hasil jaringan
sendiri Marcelo pada minit ke-11.
Selain menjadi gol pertama Piala Dunia kali ini, Marcelo yang juga
tonggak gergasi Sepanyol, Real Madrid turut merakamkan rekod apabila
bergelar pemain pertama dari Brazil yang meledak jaringan sendiri
sepanjang kempen Piala Dunia.
Jentera pertahanan Brazil nampak goyah apabila Ivica Olic mudah
berjaya melepasi beberapa pertahanan lawan termasuk kapten, Thiago
Silva, sebelum melepaskan sepakan lintang rendah yang dikuis Nikica
Jelavic sebelum Marcelo menampannya ke gawang sendiri membuatkan penjaga
gol, Julio Cesar sekadar terpaku.
Namun, hasil gerakan cantik bersama Oscar, Neymar kembali mencetus
riuh penyokong juara dunia lima kali itu menerusi gol pertamanya
apabila rembatan rendah dari jarak 25 meter gagal dibaca penjaga gol,
Stipe Pletikosa.
Dan ketika Croatia terdesak memburu jaringan penyamaan, Oscar
yang juga bintang Chelsea menampilkan magisnya apabila dengan mudah
memperdaya tiga pemain lawan sebelum melepaskan rembatan yang tepat ke
gawang lawan pada minit terakhir perlawanan.
Dua gol Neymar pada perlawanan kali ini menambah jumlah jaringannya buat Brazil kepada 33 dalam 50 penampilan.
Kemenangan turut meredakan sedikit ketegangan yang melanda negara
Amerika Selatan itu sebelum kejohanan terulung itu bermula apabila
berlaku beberapa siri rusuhan keganasan yang membantah wang yang
digunakan kerajaan bagi menganjurkan Piala Dunia. - Reuters
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !