Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM
ZALIM adalah satu sifat negatif yang amat dibenci di sisi Allah SWT.
Akibat daripada berlaku zalim ini akan menyebabkan pelakunya terdedah
kepada ancaman Allah untuk dimasukkan dalam neraka- Nya. Apa pun zalim
menurut Islam diambil daripada perkataan Arab iaitu meletakkan sesuatu
perkara bukan pada tempatnya. Orang yang berbuat zalim disebut
zalimin. Lawan kata zalim adalah adil.
Sebenarnya seseorang
Muslim yang baik adalah mereka yang sedar akan kezaliman diri sendiri
dan tidak lalai untuk memohon keampunan kepada Allah SWT secara
berterusan agar Dia mengampuninya. Dia juga tidak melemparkan tuduhan
kepada orang lain. Inilah akhlak yang sebenarnya telah menjadi doa bagi
setiap orang Islam sejak dahulu hingga sekarang. Pada pandangan
Islam, sesuatu perbuatan yang dikatakan zalim itu ialah tindakan yang
melampaui batasan agama Islam sendiri. Misalnya, jika tindakan seseorang
itu melampaui batasan akidah dan peraturan kehidupan yang ditetapkan,
maka tindakan itu dianggap zalim yang dituntut untuk bertaubat bagi
membersihkan diri daripada kesalahan atau dosa.
ZALIM MENURUT AL-QURAN DAN HADIS
Al-Quran
Di dalam al-Quran, zalim terbahagi kepada beberapa maksud, antaranya dalam beberapa surah seperti berikut:
1. Al Baqarah 165 dan Huud 101, zalim diertikan sebagai orang-orang yang menyembah selain Allah.
2. Al Maa-idah 47, zalim disebut sebagai menuruti hawa nafsu dan merugikan orang lain.
3. Al Kahfi 35, zalim pada ayat ini menunjukkan satu sifat angkuh dan perbuatan yang membawa kepada kekafiran.
4. Al-Anbiyaa’ 13, orang yang zalim itu di waktu merasakan azab Allah
melarikan diri, lalu orangorang yang beriman mengatakan kepada mereka
dengan secara sindiran agar mereka tetap di tempat semula dengan
menikmati kelazatan-kelazatan hidup sebagaimana biasa untuk menjawab
pertanyaan-pertanyaan yang akan dihadapkan kepada mereka.
5. Al
‘Ankabuut 46, yang dimaksud dengan orang-orang yang zalim pada ayat ini
adalah orang-orang yang setelah diberikan kepadanya keteranganketerangan
dan penjelasanpenjelasan dengan cara yang paling baik, mereka tetap
membantah dan membangkang dan tetap menyatakan permusuhan.
Hadis
Dalam hadis sohih yang diriwayatkan oleh Ibnu Sirin, Muhammad pernah
mengatakan bahawa, “Di antara bentuk kezaliman seseorang terhadap
saudaranya adalah apabila ia menyebutkan keburukan yang dia ketahui
daripada saudaranya dan menyembunyikan kebaikankebaikannya.”
Dari
kisah Abu Dzar Al-Ghifari dari Rasulullah sebagaimana baginda mendapat
wahyu daripada Allah bahawa Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai
hamba- Ku! Sesungguhya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku dan
Aku telah menetapkan haramnya (kezaliman itu) di antara kamu, maka
janganlah kamu saling berlaku zalim.”
Dalam hadis lain Nabi
Muhammad s.a.w. bersabda maksudnya: “Takutlah kamu akan kezaliman kerana
ia adalah kegelapan pada hari kiamat.”
BENTUK-BENTUK ZALIM YANG MESTI DIJAUHI
Perkara yang boleh menyelamatkan umat Islam daripada terjerumus dalam
api neraka ialah apabila mereka bertindak melakukan perbuatan zalim
dalam bentuk-bentuk berikut:
Zalim terhadap Allah SWT
Perkara yang boleh dikategorikan sebagai berlaku zalim terhadap Allah
SWT selaku Pencipta ialah menyembah selain daripadanya seperti yang
tersebut dalam ayat 165 surah al- Baqarah maksudnya: “(Walaupun
demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada
Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya,
(memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang
orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.
dan
kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui
ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya
kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa
sesungguhnya Allah Maha berat azab seksa-Nya, (nescaya mereka tidak
melakukan kezaliman itu).”
Begitu juga pemerintah Islam yang
diberi kuasa untuk memerintah negara dengan undang-undang Islam,
sedangkan tidak ada yang menghalang untuk berbuat demikian, mereka ini
disifatkan Allah sebagai golongan yang zalim seperti yang terdapat dalam
ayat 45 surah al-Maidah maksudnya: “Sesiapa yang tidak menjalankan
hukum/ peraturan/ undang-undang yang telah ditetapkan Allah, maka mereka
tergolong dari kalangan orangorang yang zalim.”
Mereka dikatakan
zalim kerana tidak menunaikan hak Allah yang telah
dipertanggungjawabkan ke atas manusia yang bergelar Muslim, sedangkan
Allah sekalikali tidak pernah memungkiri atau mengabaikan hak hamba- Nya
yang mesti Dia tunaikan sebagai tanggungjawab yang wajib ke atas-Nya.
Zalim terhadap Rasulullah s.a.w.
Zalim terhadap Rasulullah s.a.w merupakan bentuk zalim kedua yang perlu
diberi perhatian oleh segenap umat Islam, ia termasuk dengan tidak
menguasai hadishadis baginda, sama ada dengan menghafalnya,
mendiskusikannya, atau tidak memiliki kitab-kitab hadis di rumah, begitu
juga tidak mengambil ajaran baginda sebagai cara terbaik untuk menjadi
Muslim dalam erti kata sebenar.
Kealpaan Muslim untuk tidak
berselawat ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. juga dianggap sebagai
berlaku zalim, ini kerana setiap aktiviti baginda s.a.w. tidak lekang
daripada mengingati umatnya dalam banyak hal, baginda sentiasa menyebut
umatku… umatku… umatku… ini termasuk dalam bab kewajipan solat fardu
lima waktu yang pada asalnya berjumlah 50 waktu, baginda terpaksa turun
naik bertemu Allah agar Dia mengurangkan jumlahnya hingga menjadi lima,
itu pun ramai yang tidak menunaikannya.
Perkara yang dianggap
zalim terhadap baginda Rasulullah s.a.w. ialah dengan menghina atau
memandang sinis terhadap sunnah-sunnah baginda, memperlekehkannya hingga
ke tahap mentertawakannya di hadapan khalayak ramai seperti mengatakan
bahawa baginda berkahwin dengan seorang wanita tua nak mampus, atau
mendiamkan diri dengan tidak mencegahnya juga boleh dianggap zalim, maka
beringatlah bahawa satu-satu manusia yang boleh memberi syafaat pada
hari kiamat ialah Muhammad bin Abdullah.
Zalim terhadap kedua-dua ibu bapa
Zalim terhadap keduanya ialah dengan mengherdik mereka, meninggikan
suara, menghina, memalukan mereka di hadapan orang ramai, atau dengan
erti kata lain melakukan penderhakaan terhadap mereka. Berlaku angkuh
dengan tidak mengaku mereka sebagai ibu bapa kandung kerana malu
terhadap orang lain, apatah lagi ibu bapa yang miskin, melarat,
sedangkan mereka selalu berdoa atas kejayaan anak-anak dalam hidup di
dunia dan akhirat.
Zalim terhadap isteri dan anak-anak
Mungkin ramai tidak perasan berhubung aspek muamalah berumah tangga
yang melibatkan anggota keluarga terdekat khususnya isteri dan
anak-anak.
Ini kerana ramai para suami menghabiskan masa di kedai-kedai kopi dengan duduk bersembang serta bermain dam atau catur.
Sedangkan tanggungjawab para suami di rumah terlalu banyak, antaranya
memantau pembelajaran anak dengan membuat kerja-kerja sekolah di rumah,
memastikan anak-anak dapat pendidikan agama dengan mempelajari pengajian
al-Quran, atau memastikan barangan keperluan dapur mencukupi stoknya,
tetapi terkadang-kadang para suami tidak sedar seolaholah terlepas
pandang dalam hal tersebut.
Mereka sebenarnya diperlukan di rumah
setelah selesai menunaikan solat Maghrib dan Isyak juga mendengar
kuliah, tetapi selepas itu ramai yang mencari kawan-kawan sekepala untuk
menghabiskan waktu yang sepatutnya boleh digunakan dengan membaca
bahan-bahan bacaan ilmiah yang boleh meningkatkan jati diri mereka.
Zalim terhadap agama
Aspek ini juga dianggap penting kerana ramai di kalangan umat Islam
tidak melihat bahawa memperkasa diri dengan aspek agama adalah cara
untuk menjadi pengamal Islam yang baik, di waktu ramai di kalangan
mereka tidak menguasai aspek keagamaan termasuk masih tidak mampu untuk
menjadi imam solat fardu, mengumandangkan azan, masih tidak mampu
menghafal Yasin walaupun sudah menjangkau lebih 500 kali membacanya,
masih tidak mampu memimpin majlis-majlis doa selamat dan sebagainya.
Ini termasuk tidak menguasai ilmu tajwid, fiqh, sirah, akidah, hadis,
tafsir dan banyak lagi yang disifatkan oleh sarjana Islam sebagai
‘ilmu-ilmu alat’ yang mampu menyelesaikan banyak perkara.
Ini berlaku
kerana masih belum ada kesedaran terhadap agama, ada pula yang memberi
gambaran salah tentang Islam kepada anak-anak mereka, tidak kurang juga
yang membelakangkan agama kerana menganggap ia tidak mampu memimpin
manusia mencapai kejayaan duniawi. Inilah golongan yang zalim terhadap
agama mereka sendiri.
Sebenarnya untuk mendiskusikan perkara ini
tidak cukup dalam ruangan yang terbatas ini, ia sekadar membuka jalan
kepada umat Islam untuk berfikir dalam banyak perkara lain yang boleh
dikategorikan sebagai berlaku zalim. Apa yang diharapkan mudah-mudahan
ia mampu membuka minda untuk mencari keredaan Allah SWT.
Home »
Bicara Islam
» Muslim hakiki tidak zalim
Muslim hakiki tidak zalim
Written By zabidi on Tuesday, 14 October 2014 | 07:50
Labels:
Bicara Islam
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !