Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
ADA dua berita gembira kepada umat Islam dalam tempoh seminggu lalu.
Pertama, seorang biskop kanan Gereja England, Harries of Pentregarth
pada 30 November lalu mencadangkan bacaan
ayat suci al-Quran diperdengarkan dalam majlis pertabalan Putera
Charles, sekiranya beliau diangkat sebagai pemerintah negara itu.
Sehari kemudian, pemimpin agama Vatican, Pope Francis pula menyatakan,
tindakan menyamakan Islam dengan keganasan adalah satu perbuatan
salah.
“Anda tidak boleh menyatakan demikian. Semua agama
mempunyai kumpulan kecil seumpama ini (pelampau). Mereka (penganut
Islam) percaya al-Quran adalah kitab suci yang membawa keamanan,”
katanya sekembalinya daripada melawat Turki.
Apa yang menarik adalah
tanggapan kedua-dua pemimpin agama itu kepada kitab suci al-Quran. Yang
tersirat daripada yang tersurat adalah keyakinan mereka bahawa al-Quran
itu memberi ketenangan dan mengajak manusia kepada kesejahteraan.
Jika orang bukan Islam menyakini demikian, di mana pula kedudukan kita
sebagai umat Islam yang beriman dengan kitab Allah ini? Sejauh mana kita
mentadabbur ayat-ayat Allah yang di dalamnya penuh dengan petunjuk,
hidayah serta merungkai semua permasalahan dalam hidup manusia.
Persoalannya, berapa ramai dalam kalangan kita yang menjadikan al-Quran
sebagai bacaan wajib setiap hari? Selepas membacanya adakah kita
berusaha memahami dan mengamalkannya? Hal-hal begini sepatutnya menjadi
keutamaan bagi umat Islam sementelahan kita tahu bahawa al-Quran itu
memberi petunjuk kepada orang yang bertakwa. (al-Baqarah: 2)
Kelebihan membaca al-Quran bukanlah rahsia. Antaranya, al-Quran akan
menjadi syafaat di akhirat. Ia berdasarkan hadis daripada Abu Umamah r.a
berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Bacalah al-Quran
sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada
pembacanya. (riwayat Muslim)
Kedua: Al-Quran sebagai pembela
(mempertahankan) orang yang membacanya di akhirat. Ia berdasarkan hadis
daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah berkata: Aku mendengar Rasulullah
SAW bersabda: Di akhirat kelak akan didatangkan al-Quran dan orang yang
membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan surah
al-Baqarah dan surah ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah
(mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya. (riwayat Muslim)
Sepatutnya kedua-dua berita di atas dijadikan pemangkin kepada
semua umat Islam untuk memperhebatkan lagi usaha dakwah kepada orang
bukan Islam. Berdakwah tugas semua, bukan terhad kepada para ulama,
ustaz dan ustazah. Antara ramuan dakwah yang paling berkesan adalah
dakwah bil hal (penampilan kualiti peribadi).
Bagi Malaysia,
adakalanya kita memerlukan kepada uslub al-Latf wa al-layn (pendekatan
lembut dan lunak). Lebih-lebih lagi dalam hal melibatkan hubungan dengan
penganut agama lain. Berlembut pada tempat yang perlukan kelembutan
adalah bukti kebijaksanaan pendakwah. Sama juga keadaan berkeras pada
tempat yang memerlukan kekerasan juga adalah hikmah. Uslub al-Latf wa
al-layn ini diasaskan kepada firman Allah SWT kepada nabi Musa a.s dan
nabi Harun a.s ketika mereka diperintah menyeru Firaun kepada agama
Allah. (rujuk surah Thaha: 43–44)
Semua tindakan itu terangkum
dalam dakwah secara hikmah. Ia sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan
dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang
engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik... (an-Nahl: 125)
Mereka yang membudaya dan mengamalkan al-Quran pasti menjadi generasi
yang cemerlang dalam segi tingkah laku, amalan dan cara hidup mereka.
Apabila ini dicapai, tugas berdakwah kepada bukan Muslim menjadi lebih
mudah. Ingatlah bagaimana al-Quran melembutkan hati insan bengis dan
keras seperti Umar al-Khatab sekali gus menukar beliau kepada insan
Muslim dan mukmin.
Home »
Bicara Islam
» Tanda bukan Islam mula terima al-Quran
Tanda bukan Islam mula terima al-Quran
Written By zabidi on Sunday, 7 December 2014 | 06:26
Labels:
Bicara Islam
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !