Ia bukan sahaja saat yang dinanti-nantikan malah satu pengalaman yang tidak ternilai yang perlu diawasi dengan baik.

Ini kerana setiap tahap pembesaran anak-anak, mereka pastinya akan melalui pengalaman yang berbeza selain mula mempunyai keinginan untuk meneroka perkara-perkara baharu dalam kehidupan.

Dalam hal ini, apa yang perlu dibimbangkan sekiranya perkembangan mental dan fizikal anak-anak tidak seperti yang diharapkan atau tidak sama seperti anak orang lain.

Walaupun tumbesaran bagi setiap kanak-kanak adalah berbeza, tetapi sekiranya mereka bermain dan berada di dalam dunianya sendiri selain mudah mengamuk, gagal bercampur dan bermain riang seperti kanak-kanak lain, mempunyai masalah pertuturan dan apabila berbual mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada anda atau si penutur, ia perlu diberikan perhatian khusus.

Janganlah anda sebagai ibu bapa mengandaikan ia perkara normal kerana ada kemungkinan anak anda menghidap autisme.

Autisme bukanlah sejenis penyakit berjangkit, sebaliknya merujuk kepada ketidakupayaan dalam perkembangan mental sepanjang hidup disebabkan oleh otak yang kurang berfungsi.

Tidak diketahui apa sebab dan punca terjadinya masalah tersebut, namun ibu bapa yang mempunyai anak-anak dengan masalah autisme seharusnya mempersiapkan diri dengan pengetahuan mengenainya.

Dengan pengetahuan yang ada, ibu bapa dapat membantu anak-anak ini kerana walaupun mempunyai masalah dari segi perkembangan mental, mereka masih mempunyai keupayaan intelektual dan boleh menjadi manusia berjaya.

Dalam erti kata lain, lebih cepat dikenal pasti tahap masalah yang mereka hadapi, lebih cepat kanak-kanak ini dapat dibantu mengikut kategori masing-masing.

Walaupun ada sesetengah ibu bapa mendapati anak-anak autisme ini mempunyai kemahiran dan keupayaan yang spesifik, golongan ini seharusnya dihantar ke sekolah khas yang boleh mengubah tingkah laku serta keupayaan mereka.

Kalau mereka ini dibiarkan bersekolah bersama anak-anak normal, akan menyebabkan ketinggalan dan tidak mampu mengikuti pembelajaran seperti anak-anak lain.

Begitupun, acap kali berjumpa dengan ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme, tiada permasalahan lain yang disuarakan melainkan kebimbangan mengenai masa depan anak-anak tersebut.

Ini kerana menurut mereka, setelah tamat pendidikan di sekolah rendah, tiada institusi yang menawarkan pembelajaran lanjutan sehingga mereka dewasa.

Rata-rata menyatakan kekecewaan kerana anak-anak istimewa ini sememangnya memerlukan perhatian dan pembelajaran sepanjang hayat agar mereka tahu berdikari dan hala tuju apabila dewasa kelak.

Bagi menghuraikan permasalahan tersebut Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) mempunyai jalan penyelesaiannya memandangkan persatuan ini menjadi rujukan kepada anak-anak yang menghadapi masalah tersebut.

Menurut Pengerusinya, Bistamam Rahman Siru, tidak dapat dinafikan ramai ibu bapa yang memiliki anak autisme tidak terlepas daripada mengutarakan masalah ini.

Ini kerana katanya, kanak-kanak autisme lazimnya tidak mampu berdikari, oleh yang demikian hanya melalui pendidikan khas dapat membantu mereka.

Apa yang sering terjadi ialah, apabila ibu bapa tidak mahu menerima hakikat bahawa anak mereka sebenarnya mempunyai masalah dari segi perkembangan mental, seterusnya menghantar anak-anak ini ke sekolah biasa yang akhirnya ibu bapa itu sendiri secara tidak langsung telah merosakkan masa depan anak mereka.

“Apabila kita berbicara mengenai kanak-kanak autisme, perlu diingatkan bahawa sindrom ini mempunyai tahap-tahap tertentu dan tidak semuanya sama.

“Untuk itu, bagi kanak-kanak yang mengalami autisme tahap rendah, mereka masih lagi boleh memahami dan mampu menguruskan diri sendiri.

“Sebaliknya, bagi tahap yang lebih tinggi, mereka sebenarnya mengalami masalah tingkah laku, keupayaan serta komunikasi. Disebabkan masalah inilah mereka perlu dihantar ke sekolah khas untuk mengurangkan masalah-masalah tersebut,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di B-3-3, Pacific Place Commercial Centre, Jalan PJU 1A/4A, Ara Damansara, Selangor, baru-baru ini.

Dalam usaha membantu ibu bapa untuk mendapatkan pendidikan khas untuk anak-anak autisme, Bistamam memberitahu pihaknya ada menyediakan program intervensi awal hingga dewasa.

Katanya, NASOM menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak seawal tiga tahun, iaitu sistem pembelajaran yang melatih serta mengasuh dan tumpuan lebih kepada tingkah laku.

Ulasnya, NASOM bertindak awal kepada kanak-kanak autisme kerana langkah itu adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang.

Yang pasti, apa yang ditekankan semasa pembelajaran ialah mengurangkan masalah tingkah laku dan komunikasi dalam kalangan kanak-kanak ini untuk disesuaikan dengan situasi mereka.

Pada masa yang sama, pembelajaran turut ditekankan kepada pertuturan selain mengenal abjad dan mengira dalam usaha mempersiapkan diri untuk masa depan.

Pusat tersebut turut menekankan pembelajaran dalam kemahiran bertutur dan menyanyi, selain latihan berkaitan kemahiran seperti pembuatan kraf.

Berbicara lebih lanjut mengenai pendidikan untuk kanak-kanak autisme, Bistamam menjelaskan, NASOM turut menyediakan kelas untuk pelbagai peringkat umur. Penghidap autisme paling tua yang pernah mendapatkan pendidikan di pusat tersebut berusia 36 tahun.

Kesemua pembelajaran ini bertujuan untuk membolehkan mereka berdikari dan menjana pendapatan sendiri apabila ibu bapa masing-masing sudah tiada.

Bistaman turut menyuarakan pendapatnya, orang selalu beranggapan bahawa anak-anak autisme ini ialah manusia yang genius dan ini adalah salah kerana apa yang berlaku hanyalah kes terpencil.

Hakikat yang perlu diketahui ialah majoriti daripada anak-anak ini kalau tidak dirawat lebih awal akan mengalami masalah ketika dewasa kelak.

Tegas Bistamam, pada masa yang sama, NASOM tidak ketinggalan menyediakan sistem pendidikan pra sekolah dalam usaha persediaan awal kepada kanak-kanak autisme yang boleh ke sekolah biasa.
Yang pasti, NASOM tidak pernah mengabaikan pendidikan kanak-kanak autisme dan apa yang menjadi masalah hari ini mereka tidak mendapat sokongan daripada masyarakat.

“Kami sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk menguruskan kanak-kanak autisme ini sudah pasti menitikberatkan soal pendidikan mereka dan disebabkan itulah kami memberikan pendidikan kepada golongan ini sehingga mereka dewasa.
“Malah tidak terhenti setakat itu sahaja apabila mereka yang dilihat mampu berdikari dan bekerja untuk menjana pendapat sendiri, ditawarkan latihan untuk diserapkan ke alam pekerjaan yang betul.

“Namun, kami sering mengalami masalah apabila masyarakat tidak menyokong apa yang dilakukan. Latihan yang diberikan juga akan mengambil masa lama, tetapi percayalah mereka akan menjadi pekerja yang terbaik sekiranya diberikan peluang,” katanya mengakhiri bicara.


Peluang pendidikan autisme dewasa

MENDENGAR keluh kesah ibu bapa yang mencari kaedah pendidikan yang sesuai untuk anak-anak autisme mencetuskan rasa simpati.

Kurangnya kemudahan pendidikan khusus untuk golongan ini, menyebabkan kebanyakan mereka ditempatkan di dalam kelas bersama kanak-kanak yang mengalami masalah lain seperti gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), masalah pembelajaran (lembam) dan sebagainya.

Apabila berlaku sebegini, keadaan mereka menjadi bertambah teruk kerana kanak-kanak yang mengalami autisme perlukan perhatian khusus yang berbeza.

Seorang ibu yang mempunyai anak autisme, Dr. Che Ann Abdul Ghani, turut berkongsi kesukarannya mendapatkan pendidikan untuk anak istimewanya itu terutama setelah dia meningkat dewasa.
Pernah menghantar anaknya, Yuri Azzari, 26, mendapat latihan dan pendidikan di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysi (NASOM), namun setelah tamat usia persekolahan, dia merasakan pendidikan di situ tidak lagi sesuai untuk Yuri.

“Memang Yuri mendapat pendidikan awalnya di NASOM. Di pusat tersebut banyak yang dia pelajari terutama kemahiran menguruskan diri, namun setelah berusia 17 tahun kami merasakan dia memerlukan sesuatu yang lebih spesifik.

Dr. Che Ann Abdul Ghani (kanan) mengenal pasti kecenderungan anak, Yuri Azzari Yuri Zaharin (tengah), yang mengalami masalah autisme dalam bidang lukisan.

“Apabila meninggalkan NASOM, ini bermakna pendidikannya akan terhenti begitu sahaja dan persoalannya sekarang apa yang akan berlaku selepas itu dan apakah hala tujunya?

“Mereka ini sebenarnya memerlukan sistem pembelajaran sepanjang hayat kerana autisme mempunyai tahap yang berbeza-beza,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini

Merasakan golongan ini amat memerlukan sistem pembelajaran berbentuk latihan, jelas Che Ann, penghidap autisme adalah mereka yang mengalami masalah neuro yang tidak bersambung.

Selain itu, Dr. Che Ann juga menyatakan bahawa maklumat mengenai autisme tidak banyak disalurkan termasuklah pusat-pusat yang ada menawarkan perkhidmatan harian dan pendidikan kemahiran.
“Bukan mudah sebenarnya untuk menguruskan anak-anak autisme kerana banyak persiapan perlu dilakukan, selain perlu banyak menghabiskan masa bersama mereka.

“Keadaan akan menjadi bertambah sukar apabila mereka meningkat dewasa kerana mereka ini juga mempunyai keinginan seperti orang normal yang lain,” tuturnya lanjut.

Cukup bimbang dengan masa depan Yuri, beliau berharap agar kerajaan dapat menubuhkan sebuah pusat autisme yang memberi latihan sewajarnya dalam usaha membolehkan golongan ini mencari kemahiran diri dan dapat menguruskan diri sendiri.