Artikel Terkini :
.
Home » » Belajar sendiri atau berkumpulan?

Belajar sendiri atau berkumpulan?

Written By zabidi on Saturday 2 April 2016 | 07:02



BELAJAR adalah satu proses untuk kita menjadi lebih bijak dan cemerlang. Terdapat pelbagai cara belajar sama ada berkumpulan mahupun secara berseorangan.

Belajar secara bersendiri atau berkumpulan adalah salah satu topik yang selalu ditanya sama ada di dalam bahas, atau kepada pelajar-pelajar dan para pendidik itu sendiri, terutama kepada murid dan pelajar yang menduduki peperiksaan penting seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) / Sijil Tinggi Agama (STAM).

Ramai yang suka belajar secara berkumpulan, malah, tidak kurang juga yang suka belajar secara individu. Terpulang kepada pendirian dan pandangan masing-masing namun yang pastinya, kedua-dua kaedah ini mempunyai implikasi dan keputusan berlainan.

Pepatah Inggeris ada menyebut “Two brains are better than one” yang membawa maksud idea daripada dua pemikiran berlainan akan menjadi lebih baik jika digabungkan menjadi satu. Oleh sebab itu, kebanyakan orang jika ditanya pilihan manakah di tangan mereka, pasti menjawab belajar secara berkumpulan.

Tidak dinafikan belajar berkumpulan membantu pelajar menjana minda menjadi lebih cemerlang, cekap dan pantas dalam mencerap ilmu pengetahuan. Bagi guru-guru pula, kaedah ini membantu mengembangkan minda anak didikan dengan lebih berkesan bila mana masa yang ada terlalu singkat atau terhad.

Pembelajaran jarak jauh contohnya, memerlukan kaedah pembelajaran secara berkumpulan kerana sesi perbincangan akan membantu rakan sekumpulan menguasai sesuatu topik dengan lebih cepat dan berkesan.

Baik atau buruk

Begitu pun tidak semua orang mampu fokus ketika belajar secara berkumpulan. Boleh jadi perbincangan menjadi perbualan dan niat asal untuk belajar terkeluar daripada landasan.

Belajar secara berkumpulan juga boleh menimbulkan sikap benci dan iri hati sesama rakan.

Kemungkinan besar dalam perbincangan berlaku perbalahan apabila pandangan tidak seia dan sekata.
Apabila pandangan dua individu berbeza, pandangan dan pendirian ahli kumpulan lain juga menjadi goyah. Pelajaran semakin menekan dan keputusan boleh merosot. Dalam hal ini penglibatan guru amat penting dan besar implikasinya.

Kenyataan ini bukan berniat menidakkan kepentingan pembelajaran secara berkumpulan, jauh sekali untuk menyatakan bahawa belajar sendiri itu lebih baik. Sekadar memberi gambaran mengenai situasi yang pernah wujud dalam dua keadaan tersebut. Kerana itulah ada sesetengah daripada pelajar lebih memilih untuk belajar secara bersendirian.

Minggu ini, GPSBestari CikguCikgi membawakan perbincangan ilmiah mengenai kedua-dua proses pembelajaran ini. Ikuti pendapat peribadi guru-guru dan pelajar mengenai kedua-dua proses tersebut.
Walau apa pun kesannya, sama ada buruk atau berfaedah, ambillah segala yang positif demi sebuah kejayaan.

Tolak ansur, sabar dan bekerjasama

Sebagai seorang guru saya amat menekankan kaedah pembelajaran dan ulang kaji secara berkumpulan berbanding secara individu. Ini kerana bagi saya, belajar secara berkumpulan dapat merangsang murid-murid untuk bertukar-tukar pendapat dalam pembelajaran. Proses ini secara tidak langsung akan melatih mereka bersosial dengan cara yang sihat.

Ketika belajar di dalam kelas kami dapat mengenal pasti sesetengah murid yang malu untuk bertanyakan soalan secara terbuka. Oleh itu, pembelajaran berkumpulan dapat membantu mengatasi masalah ini kerana skopnya lebih kecil dan mereka akan belajar bersama rakan sebaya yang tiada tekanan dan menghindari perasaan malu.

Secara tidak langsung, belajar secara berkumpulan akan memberikan keseronokan kepada pelajar itu kerana apabila belajar bersama rakan sebaya tiada tekanan atau perasaan malu dan sebagainya. Rakan-rakan merupakan orang yang paling dekat dengan diri pelajar.

Selain daripada itu pelajar akan belajar kemahiran untuk bertolak ansur, bersabar dan bekerjasama apabila bekerja berkumpulan. Kemahiran ini tidak mungkin diperoleh sekiranya mereka belajar bersendirian. - CIKGU NOOR AISHAH YAHAYA, 35, Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam

Produktif dan berkesan

Saya sangat menyarankan pelajar saya untuk menjalani pembelajaran secara berkumpulan kerana ia dapat mewujudkan suasana belajar yang lebih produktif dan berkesan. Dalam keadaan ini murid-murid dapat berkongsi idea dan maklumat sesama mereka.

Bagi saya melalui pembelajaran secara berkumpulan memberi ruang dan peluang kepada murid-murid atau pelajar untuk membuat perbincangan. Daripada perbincangan, minda mereka akan terangsang dalam meneroka ilmu dan menggalakkan penghasilan idea dan pemikiran luar kotak.
Idea dan maklumat dapat ditambah dan diperkembangkan melalui kaedah tersebut berbanding hanya belajar berseorangan. Malah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) juga boleh dipupuk menerusi 'study group' sekiranya mereka membincangkan sesuatu itu atau permasalahan.

Teknik berkumpulan ini amat berkesan untuk pembelajaran abad ke-21 (PA21) pada masa kini yang menggalakkan penglibatan pelajar secara efektif. - CIKGU SITI UMIENAH ZULKIPLI, 31, SMK Confusian Kuala Lumpur

Pembelajaran secara bekerjasama

Belajar bersama atau berkumpulan (cooperative learning) atau pembelajaran secara bekerjasama. Dalam hal ini pelajar yang kurang faham boleh membantu rakna-rakan lain yang kurang faham. Pelajar yang mempunyai idea pula boleh berkongsi dengan yang lain menjadikan idea mereka itu berkembang dengan lebih baik.

Tugasan berbentuk projek sememangnya boleh dilaksanakan dalam bentuk berkumpulan maka ia mengurangkan tekanan atau stres dan hasil projek akan menjadi lebih mantap.

Proses pembelajaran dalam kumpulan ini sememangnya membantu menanam sikap bantu-membantu dan berkongsi ilmu sesama pelajar. Dalam Islam pun perkara yang dibuat secara berjemaah lebih mendatangkan baraqah dan juga pahala. - SABARIAH FARIDAH JAMALUDIN, Pengasas Dan Pengarah Eksekutif Integrated Islamic School Shah Alam

Pembelajaran lebih menarik

Sebagai seorang guru dan juga pelajar, saya lebih menyarankan pembelajaran secara berkumpulan kerana pembentukan kumpulan belajar dapat menggalakkan proses pembelajaran. Ini kerana kumpulan tersebut dapat berkongsi pandangan dan pendapat selain belajar di antara satu sama lain. Setiap ahli kumpulan mempunyai pemikiran berbeza dan keunikan tersebut dapat dikongsi bersama ahli kumpulan yang lain.

Selain itu, ahli kumpulan dapat berkongsi sesuatu yang mereka fahami bersama ahli yang lain. Pelajar yang lebih pandai dapat membantu rakan yang lemah dan perkongsian sebeginilah yang akan menjadikan proses pembelajaran menjadi lebih menarik. - CIKGU NURUL AIN ABD MANAN, 32,Sekolah Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam

Mudah ingati pelajaran

Sebagai seorang guru saya berpendapat murid adalah digalakkan untuk belajar secara berkumpulan kerana mereka dapat berkongsi pendapat dan mudah untuk mengingati apa yang mereka pelajari.
Dalam Islam juga digalakkan menjalani usrah untuk mengambil keputusan yang terbaik. Oleh itu belajar berkumpulan lebih digalakkan berbanding belajar secara individu. - CIKGU NOOR AZAH ABDUL HAMID, 36, SK Seksyen 17, Shah Alam

Amat disarankan
 
Belajar berkumpulan itu sememangnya amat disarankan kepada pelajar berbanding secara individu. Melalui cara ini pelajar akan terdorong membuat kerja rumah (homeworks), menjalankan perbincangan (discussion) di mana rakan-rakan menjadi perangsang yang membina semangat kerjasama sepasukan. Dalam erti kata lain, Study Group ini merupakan "Silence Influence" kepada murid-murid/pelajar untuk berkembang lebih bijak dan maju ke hadapan dalam pembelajaran. - CIKGU NUR DINA HJ MD YUSOF, 31, Kolej Vokasional Kuala Klawang Negeri Sembilan

Pembelajaran abad 21
 
Bagi merealisasikan pembelajaran abad ke-21, saya menyarankan murid belajar secara berkumpulan kerana boleh menjimatkan masa dan berkesan. Murid boleh terus mengajukan soalan dan bertanya kepada ahli kumpulan soalan yang mereka kurang faham.

Dengan adanya perbincangan tersebut dan percambahan idea dari setiap ahli boleh menjadikan otak lebih kreatif dan aktif.

Selain itu, boleh memudahkan murid mengingati pelajaran terutamanya yang susah apabila setiap ahli boleh menyumbang serta menyediakan nota bagi tajuk yang mereka mahir secara berkesan dan tepat. - CIKGU NUR FATIN NADIAH AZMI, 27, Sek Kebangsaan Seksyen 17, Shah Alam
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Persatuan Bekas Pelajar Al - Tahzib - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PERSATUAN BEKAS PELAJAR AL-TAHZIB