Oleh Fairuz Noordin
ALLAH SWT menciptakan
api untuk membakar dan memanaskan manusia kerana sifatnya yang dahsyat,
sangat menakutkan serta mengerikan. Api neraka dibakar selama seribu
tahun dalam keadaan berwarna putih, seribu tahun kemudiannya bertukar
menjadi biru, seribu tahun berikutnya menjadi merah.
Apabila dihumban ke neraka, manusia berada dalam keadaan tidak
berpakaian dan menurut ulama, pakaian mereka juga diperbuat daripada
api.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Inilah dua golongan (Mukmin dan kafir)
yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka orang yang kafir
akan disediakan untuk mereka pakaian daripada api neraka, serta
dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak. Yang dengannya
dihancurkan apa yang ada dalam perut mereka dan juga kulit badan
mereka. Dan mereka pula disediakan batang besi untuk menyeksa mereka.
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar dari neraka itu, disebabkan mereka
menderita azabnya, mereka dikembalikan padanya, serta dikatakan: Rasalah
kamu azab seksa yang membakar!" (Surah al-Hajj, ayat 19-22)
Pakaian neraka daripada api
Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm
memetik al-Qurtubi yang menyebut api dibuat menyerupai pakaian kerana
ia dipakai seperti baju. Orang kafir apabila dimasukkan ke dalam neraka
akan dipakaikan baju daripada api sedang marak itu.
Ibnu Abbas pula berkata, seandainya hanya satu titis hamim (minuman yang
sangat panas) yang dicurahkan kepada penghuni neraka, jika jatuh ke
atas dunia nescaya akan meranapkan seluruh gunung-gunung yang ada di
muka bumi ini.
Sewaktu hamim dituang di atas kepala penghuni neraka, lalu masuk
menembusi tempurung kepala sehingga sampai ke tenggorok, memasuki
tengkuk mereka, maka terpotonglah segala urat perutnya dan keluar
melalui kaki mereka. Selepas itu mereka kembali kepada keadaan asal
sebelum ini.
Manusia yang dibakar dalam neraka, nyalaannya akan melonjakkan mereka ke
atas sehingga dapat dilihat oleh ahli syurga. Ketika berada di puncak
neraka, mereka dihentam oleh malaikat menggunakan cambuk besi sehingga
tersungkur kembali sejauh 70 musim ke dalam dasar neraka.
Dua golongan bertengkar seperti mana dimaksudkan antara golongan Mukmin
dan kafir mengenai Allah SWT, berlaku pada Perang Badar iaitu Ali,
Hamzah dan Ubaidah iaitu sahabat kepada Rasulullah SAW yang menentang
Syaibah bin Rabi'ah, Utbah bin Rabi'ah dan Al-Walid bin Utbah.
Ketiga-tiga daripada golongan kafir ini disediakan Allah SWT pakaian
yang dibakar dalam neraka sebagai balasan di atas apa yang dilakukan
akibat pertengkaran itu dan ia adalah pengajaran kepada manusia yang
melawan perintah Allah SWT.
Zaid bin Aslam menyebut, dia mendengar bahawa penduduk neraka itu tidak
bernyawa tetapi tidak pula mati. Malaikat datang membawa satu bekas
dengan bantuan dua alatan besi kerana terlalu panas, jika bekas itu
diletakkan hampir dengan wajahnya, malaikat itu menjauhinya.
Wajah dihentam malaikat
Apabila bekas itu diletakkan hampir dengan wajah penghuni neraka, ia
dihentam oleh malaikat di kepala mereka hingga isi otaknya berserakan.
Kemudian isi dalam bekas yang dibawa malaikat itu dituang ke dalam
kepala mereka yang pecah itu lalu masuk ke dalam tubuhnya.
Pakaian penghuni neraka yang ketiga ialah daripada tar berwarna hitam
dan berbau busuk. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan engkau akan
melihat orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu.
Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh
badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka." (Surah Ibrahim, ayat
49-50)
Daripada Abu Malik, Rasulullah SAW menyebut: "Ada empat perkara yang
menyebabkan umat aku ini dibakar dengan pakaian neraka kerana
berperangai seperti jahiliah yang dikekalkan walaupun mereka tidak lagi
hidup pada zaman itu. Yang pertama ialah dia berbangga-bangga dengan
keturunan kerana sepatutnya mereka perlu lebih berbangga menjadi hamba
Allah. Sebab kedua ialah kerana mereka suka melaknat keturunan mereka.
Ketiga kerana suka memohon hujan daripada bintang, bukan daripada Allah
SWT dan perlakuan jahiliah yang keempat ialah suka meratap ke atas orang
yang meninggal dunia. Golongan ini sekiranya tidak bertaubat sebelum
tiba kematiannya, pada hari akhirat kelak dia akan dibangkitkan dengan
dikenakan pakaian tar yang berperisaikan kudis yang berbau busuk."
Jagalah aurat dan jangan tergolong dalam kalangan mereka yang
mengabaikannya kerana sesungguhnya aurat yang terdedah itu akan menempah
pakaian dari neraka. Ngerinya keadaan di dalam neraka sehingga Allah
SWT turut menyediakan selimut dan tempat tidur bagi penghuninya.
Apa yang dilihat oleh penghuni neraka sebagai selimut itu hanyalah api
bergulung-gulung kerana dalam neraka tidak ada waktu untuk tidur. Allah
SWT menjadikan pembalasan begini untuk menakutkan manusia yang lalai dan
leka supaya taat perintah Allah SWT ketika di dunia.
Home »
Bicara Islam
» Dedah aurat tempah pakaian neraka
Dedah aurat tempah pakaian neraka
Written By zabidi on Monday, 7 October 2024 | 19:01
Labels:
Bicara Islam
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !