Artikel Terkini :
.
Home » » Kurangkan guna gajet pujuk anak

Kurangkan guna gajet pujuk anak

Written By zabidi on Monday, 7 October 2024 | 19:01

Oleh Siti Zarinah Sahib

Ibu bapa yang mempunyai anak kecil kini sering menggunakan peralatan mudah alih seperti telefon pintar dan tablet untuk memujuk atau mengalih perhatian dengan memainkan kartun atau permainan video.

Walaupun penggunaan teknologi untuk mendisplin atau mengalih perhatian anak dianggap sesuatu yang senang, ia juga boleh membawa risiko pendedahan melampau kepada kanak-kanak.

Keadaan ini menyebabkan ketagihan kepada peralatan berkenaan yang mengakibatkan situasi kanak-kanak hilang minat terhadap aktiviti lain dan sering menunjukkan tanda gelisah, cemas serta masalah tingkah laku.

Akademi Kanak-kanak Amerika (AAP) mengesyorkan kanak-kanak berusia antara dua dan lima tahun tidak sepatutnya terdedah kepada skrin peranti melebihi satu jam sehari. Ini kerana dalam tempoh beberapa tahun pertama kehidupan mereka, otak kanak-kanak berkembang dengan pantas dan mereka sepatutnya belajar melalui interaksi dengan manusia bagi membina kemahiran sosial.

Bagaimanapun, dalam garis panduannya, AAP meminta untuk mempertimbangkan kualiti kandungan dalam peranti dan bukan sekadar menetapkan had masa semata-mata.

Menyedari hal ini, sempena ulang tahun ke-4, Gymboree Play and Music, peneraju dunia dalam penyediaan kelas bagi bayi dan kanak-kanak, menganjurkan sesi dialog bagi membincangkan aspek positif dan negatif membesarkan kanak-kanak dalam persekitaran kehidupan generasi berteknologi.

Ahli panel yang dijemput terdiri daripada penulis buku The Mindful Mum, Michelle Lim Chua, Perunding Pakar Pediatrik dan Pengasas Pusat Pakar Kanak-kanak Baby and Beyond Dr Chow Su Lin dan Pengarah Urusan Gymboree Play and Music Malaysia Ooi Kim Koon yang diadakan di cawangan Gymboree Play and Music di Bangsar Village, Kuala Lumpur.

Sesi dialog berkenaan membincangkan pelbagai aspek membesarkan kanak-kanak dengan mengurangkan penggunaan teknologi dalam kehidupan harian.

Menurut Dr Chow, pada usia sebulan hingga lima tahun adalah tempoh ibu bapa mendidik anak dengan cara membina corak minda mereka. Ini kerana sepanjang tempoh ini kanak-kanak sedang mengalami perkembangan sosial, emosi dan kognitif yang pesat. Perkukuhkan hubungan dengan mereka dalam tempoh ini untuk membina asas teguh yang akan berkekalan sepanjang hidup mereka.
“Pada usia ini, anak akan menunjukkan sifat nakal dan menakjubkan yang dianugerahkan kepadanya.
Oleh itu biarkan mereka meneroka persekitaran dan belajar menerusi perkara di sekeliling mereka,” katanya.

Kata Michelle, ibu bapa perlu melihat hubungan teknologi dan media sosial dengan anak. Kemudian tanya diri sama ada ibu bapa menampilkan contoh tingkah laku yang sihat dan seimbang yang dapat diikuti generasi masa depan.

Dengan lebih daripada 700 pusat di 40 negara di seluruh dunia, Gymboree Play & Music muncul sebagai peneraju global dalam pembangunaan awal kanak-kanak. Kurikulum yang diguna pakai dibangunkan oleh pelbagai pakar kanak-kanak khusus untuk membantu ibu bapa memahami dan menyaksikan sendiri impak besar yang dicetuskan oleh permainan, muzik dan seni ke atas bayi baru lahir sehingga ke usia lima tahun dengan peningkatan enam bulan sekali untuk memenuhi kemampuan dan perkembangan unik setiap kanak-kanak.

Gymboree Play & Music berperanan sebagai tempat ibu bapa mendapatkan pengalaman bermain sebenar dengan anak sambil mengenali dengan lebih dekat diri mereka sendiri.

Ibu bapa juga akan dapat mengikuti: 

1. Kelas muzik untuk mempertingkatkan perkembangan dengan menggunakan lagu, tarian dan peralatan pergerakan.

2. Kelas seni untuk mencetuskan imaginasi dan melahirkan ekspresi diri.

3. Pelbagai bentuk permainan membina yang membabitkan fizikal, sosial, lakonan, penyelesaian masalah.

4. Peralatan canggih menggabungkan estetika penyelidikan dan pembelajaran daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan budaya bertujuan memberikan pengalaman bermain yang universal dan abadi.

Selama 40 hari bermula pada 12 November, Gymboree Play & Music menyambut ulang tahunnya yang ke-40 di seluruh dunia. Di Malaysia, ia akan mengadakan sambutan dengan gaya Gymboree sebenar untuk keluarga yang mempunyai anak-anak kecil termasuklah PlayGym, beg hadiah, perbincangan ahli panel dengan ibu bapa juga pertemuan anak-anak dengan maskot.

Menurut Ooi, pihaknya sangat teruja membawakan kanak-kanak bermain dan meneroka bagi mengukuhkan perhubungan ibu bapa dengan anak-anak.

“Kami menyasarkan menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi yang diharapkan ibu bapa untuk anak mereka dan ingin mengukuhkan kedudukan di Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Share this article :

0 comments:

Speak up your mind

Tell us what you're thinking... !

 
Programmer : Creating Website
Webmaster ZABIDI MORAD
Copyright © 2014. Persatuan Bekas Pelajar Al - Tahzib - All Rights Reserved
PANDANGAN DALAM LAMAN INI TIDAK SEMESTINYA MENUNJUKKAN SIKAP PERSATUAN BEKAS PELAJAR AL-TAHZIB