Oleh Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman
KEPUTUSAN kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan Jawi
bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal. Tahniah. Ia
usaha untuk memartabatkan kecemerlangan dan kegemilangan pendidikan
mengikut acuan dan citra tersendiri.
Kita perlu menerima
perubahan ini dengan minda terbuka selaras dengan Malaysia Baharu. Tidak
perlu beremosi, apatah lagi berdemontrasi.
Baru-baru ini,
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan
seni khat dan tulisan Jawi bagi mata pelajaran bahasa Melayu Tahun
Empat seluruh sistem pendidikan termasuk SJK Cina dan Tamil adalah kekal
yang akan bermula tahun depan.
Pemimpin parti politik dan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta agar tidak mempolemikkan isu
penggunaan tulisan Jawi dan khat dalam buku teks di semua sekolah dalam
negara kerana keputusan ini dibuat meliputi semua aspek dan sudut
pandangan.
Ini kerana mempelajari tulisan itu tidak akan
menggugat pegangan agama seseorang. Ramai cerdik pandai yang menguasai
pelbagai bahasa di dunia, tetapi tidak pula mengubah pendirian terhadap
agama mereka.
Usaha yang diperkenalkan oleh Kementerian
Pendidikan ini dilakukan dengan penuh kesedaran bahawa tulisan dan seni
khat ini adalah khazanah Malaysia. Anak-anak kini, malah segelintir
orang Melayu sendiri pun sudah melupai tulisan Jawi dan khat yang
menjadi aspek seni.
Bukan berniat untuk mengislamkan
sesiapa. Untuk rekod, tulisan Jawi adalah antara tulisan terawal yang
pernah ditemui di Nusantara. Tulisan ini berkembang sejak zaman Kerajaan
Islam Pasai, kemudian disebarkan ke Kerajaan Melaka, Kerajaan Johor dan
juga Aceh pada abad ke-17.
Bukti kewujudan tulisan ini di
Malaysia adalah dengan terjumpanya Batu Bersurat di Terengganu yang
bertarikh 702H atau 1303M. Tulisan Rumi yang paling awal ditemui adalah
pada akhir kurun ke-19.
Ini menunjukkan tulisan Jawi sudah
bertapak ke negara ini lebih awal berbanding tulisan Rumi. Tulisan Jawi
adalah tulisan rasmi bagi Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu ketika
penguasaan British.
Semua perjanjian ditulis dalam tulisan
Jawi bukan sahaja di Nusantara, malah dengan Portugis, China, Belanda
dan Inggeris. Kegemilangan tulisan Jawi sehingga negara lain akur dan
memahami tulisan Jawi untuk berdagang dengan Melaka, Kerajaan Pasai atau
Aceh. Malah, ufti dan dokumen berkaitan hubungan dengan Tanah Besar
Cina ditulis dalam tulisan Jawi.
Jadi apa isu sebenarnya,
sedangkan usaha ini adalah transformasi pendidikan yang dibentuk dalam
misi kerajaan baharu untuk mengantarabangsakan lagi segala khazanah yang
kita mula lupakan.
Kalau di Ireland mewajibkan semua pelajar
mempelajari bahasa Irish, dek menyedari keutamaan kepada negara, kenapa
tidak di Malaysia.
Setelah dijajah oleh Inggeris, Ireland
tidak lagi menggunakan bahasa Irish, kecuali yang tua-tua. Maka, sejak
akhir-akhir ini Ireland dan Scotland serta beberapa negara Eropah
memperkenalkan bahasa ibunda agar tidak ditelan zaman.
Begitu juga jiran kita di utara, mewajibkan bahawa bahasa Siam kepada
semua pelajar, baik berdarah Siam atau Tionghua menjadikan negara mereka
mempunyai identiti dan citra yang unik. Wujudnya keseragaman dan
berkongsi nilai yang sama seperti yang berjaya dilakukan di Indonesia.
Di sinilah wujudnya kepelbagaian dalam kesaksamaan. Mungkin juga pada
masa akan datang, tulisan dan kaligrafi Cina dan Tamil boleh
diperkenalkan menjadikan pembelajaran suatu yang menarik.
Akibat
daripada kita ‘mengetepikan’ kepentingan tulisan Jawi dan khat, maka
kini tulisan ini digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat
Melayu kebanyakannya di Johor, Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu.
Oleh itu, belum lagi terlambat untuk kita bangun daripada lamunan.
Bahawa perubahan yang akan dilakukan sudah tentu difikirkan
semasak-masaknya oleh pihak berwajib. Suatu ketika dahulu pelajar
sekolah rendah diminta untuk membawa sempoa, alat kira bagi kaum Cina di
sekolah. Tiada bantahan pun ketika itu.
Malah, masyarakat
Melayu menyambut baik perkongsian sebegini. Khat dan tulisan Jawi
adalah seni yang tidak mempunyai kaitan dengan aspek keagamaan. Kerajaan
tidak pernah menghalang kaum lain mengamalkan penulisan bahasa ibunda
masing-masing, yang menjadikan negara ini istimewa dalam kepelbagaian.
Penulis adalah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA
Home »
Penulis Tamu
» Mengapa pertikai tulisan Jawi, seni khat?
Mengapa pertikai tulisan Jawi, seni khat?
Written By zabidi on Friday, 9 August 2019 | 05:45
Labels:
Penulis Tamu
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !