MOKPO, Korea Selatan Angka korban dalam tragedi feri karam di
Korea Selatan, meningkat kepada
213 hari ini apabila sebanyak
berpuluh-puluh lagi mayat berjaya dikeluarkan daripada bangkai feri
Sewol yang karam pada 16 April lalu.
Usaha mencari dan menyelamat juga semakin sukar apabila pasukan
penyelam terpaksa mengharungi ombak kuat dan serpihan-serpihan objek
untuk mencari kira-kira 89 penumpang yang masih hilang.
Selepas dua minggu insiden itu berlaku, ahli keluarga penumpang yang
terlibat masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan orang
kesayangan mereka.
Permohonan maaf Presiden Korea Selatan, Park Guen-hye kelmarin
berhubung kelewatan operasi mencari dan menyelamat, disifatkan ahli-ahli
keluarga sebagai tidak ikhlas.
Permohonan maaf itu dibuat selepas timbul dakwaan daripada ahli-ahli
keluarga mangsa yang menuduh kerajaan tidak mengambil tindakan
secukupnya untuk menyelamat dan melindungi mangsa.
Ahli-ahli keluarga mangsa turut menggesa operasi menyelamat ditingkatkan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Media tempatan turut melaporkan, beberapa keluarga mangsa yang marah,
membuang kalungan bunga yang dihantar oleh Guen-hye dan pegawai kanan
kerajaan lain ke satu tempat peringatan tragedi tersebut di bandar
Ansan.
Feri tersebut membawa 476 orang, kebanyakannya pelajar sekolah menengah.
Dalam kejadian dari Incheon ke Pulau Jeju itu, hanya 174 orang terselamat termasuk 22 daripada 29 anak kapal. - AP
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !