Ketika mencari buku rujukan di perpustakaan, tiba-tiba terlanggar
bakal 'jodoh'. Bibit-bibit cinta terus berbunga. Bermula dengan ajakan
minum bersama, akhirnya menjadi pasangan kekasih sebelum berakhir di
jenjang pelamin.
Kafetaria pula dipenuhi siswa melepak sambil berborak kosong dan
sesekali diselangi gelak ketawa. Adegan ini sering kita tonton dalam
filem atau drama sehingga ramai menyangka kehidupan di kampus sangat
mudah dan menyeronokkan.
Hakikatnya, memulakan penghidupan di menara gading bukan semudah
disangka. Dihimpit timbunan tugasan, kuliah berterusan, peperiksaan
serta pelbagai ragam rakan dan pensyarah antara resam kehidupan yang
perlu tempuhi siswa.
Pengetua Kolej Kediaman Perwira, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
(UTHM) Batu Pahat Dr Afandi Ahmad berkata, siswa baru perlu berpijak di
dunia nyata dan jangan terlalu berkhayal menganggap kehidupan di kampus
sangat indah dan mudah.
Menurutnya, sebaik menjejakkan kaki di kampus, mereka perlu bersikap realistik serta mempunyai perancangan jangka panjang.
“Jangan menganggap kehidupan di kampus sangat indah seperti adegan
filem atau drama. Khayalan ini boleh membahayakan kesihatan minda kerana
impaknya dikhuatiri berpanjangan hingga menyukarkan siswa melakukan
perubahan.
“Saya nasihatkan buang angan-angan seperti itu, sebaliknya bina
sikap realistik dan tumpukan kepada matlamat untuk belajar dengan
berpaksikan dunia nyata,” katanya.
Sebagai persiapan awal, siswa baru perlu belajar mengharungi
kehidupan di kampus dengan mendapatkan pelbagai maklumat sebagai
panduan.
Katanya, langkah itu perlu bagi memastikan mereka tidak mengalami
kejutan budaya kerana sebelum itu menyangka kehidupan di kampus bagaikan
sedang berbulan madu.
“Antara yang perlu diberi perhatian ialah bagaimana mahu
menyesuaikan diri untuk tinggal di kolej kediaman kerana di universiti
awam (UA) biasanya kemudahan ini diberikan kepada siswa baru.
“Kolej kediaman menjadi medan pertama untuk belajar erti
perkongsian, tolak ansur dan berdikari kerana tiada orang akan membantu
anda kecuali diri sendiri dan rakan yang baik.
“Jika gagal menyesuaikan diri dengan kehidupan di asrama, banyak
lagi konflik bakal muncul hingga boleh menyebabkan kehidupan terjejas
dan hilang tumpuan belajar,” katanya.
Dr Afandi menegaskan, sistem pembelajaran di kampus tidak menetapkan
waktu wajib belajar dan terpulang pada siswa sendiri untuk membuat
jadual.
“Di sini semua keputusan kita buat sendiri. Tiada sesiapa akan
membuat keputusan untuk anda kerana kunci kebebasan diberikan sepenuhnya
untuk anda merancang dan mengenal diri sendiri.
“Malangnya, apabila kunci kebebasan itu diberikan, ada siswa alpa
menyebabkan mereka terperangkap, seterusnya menyebabkan pencapaian
akademik pada tahun pertama hanya ‘suam-suam kuku’ atau mungkin terpaksa
‘bergraduan’ lebih awal (diberhentikan kerana gagal dalam peperiksaan,”
katanya.
Beliau berkata, keputusan diraih siswa bergantung pada diri sendiri
dan bagaimana mereka mahu belajar menyesuaikan diri atau masih
dibelenggu angan-angan.
“Jika masih berangan-angan menganggap hidup di kampus mudah kerana
ada rakan ‘sporting’, boleh bergelak ketawa, belajar sambil lewa tapi
dapat keputusan cemerlang, jangan menyesal kalau berlaku sebaliknya.
“Sistem pengajian tinggi dirangka untuk membina kematangan berfikir,
menajamkan kemahiran serta menambah nilai dalam diri, bukan keseronokan
semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, mendepani cabaran alaf 21, kecemerlangan siswa tidak
hanya diukur berdasarkan gred A yang dirangkul semata-mata, tapi
pelbagai aspek lain turut diambil kira.
“Ramai anggap subjek tahun pertama mudah, sebab itu mereka belajar
sambil lewa. Tapi apa yang tidak mereka sedari ialah tahun pertama
sangat penting untuk membantu memperoleh keputusan cemerlang pada tahun
seterusnya dengan syarat mereka konsisten,” katanya.
Dr Afandi juga meminta siswa tahun pertama menyertai aktiviti yang menekankan kepelbagaian kemahiran.
“Di universiti banyak perkara positif boleh dipelajari untuk
mengembangkan bakat dan jati diri. Semuanya disediakan bagi melahirkan
graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seperti termaktub
dalam Lonjakan 1, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan
Tinggi) atau PPPM (PT),” katanya.
Beliau menasihatkan siswa supaya mengenali individu penting seperti
kepemimpinan universiti, penasihat akademik (PA), pensyarah dan
kepimpinan fakulti dan kolej kediaman.
“Bina hubungan profesional bersama mereka untuk mendapat bimbingan,” katanya.
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !