Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
HARI ini genap sembilan hari umat Islam menjalani ibadah puasa. Dalam
tempoh hampir satu pertiga bulan kita menjalani ibadah puasa, ia
pastinya sedikit sebanyak dapat mendidik dan memperbaiki akhlak kita ke
arah yang lebih baik dan positif.
Peranan puasa dalam pembinaan akhlak adalah sejajar dengan matlamat
utama umat Islam diwajibkan berpuasa yakni bagi menghidupkan takwa di
dalam hati, menumbuhkan akhlak yang mulia dan terpuji di dalam jiwa,
serta menjelmakan roh baharu bagi mereka yang beriman.
Daripada ayat ini dapat difahami bahawa ibadah puasa adalah wasilah
dalam menuju takwa, yakni salah satu cara yang mampu membina,
mempertingkat, serta memperkukuhkan sudut rohani dan akhlak bagi orang
yang berpuasa dan mendorong mereka untuk taat serta patuh hanya kepada
perkara-perkara yang dicintai dan diredai oleh Allah.
Ibadah puasa bukan sahaja membantu dalam pembinaan akhlak dan
peribadi umat, bahkan ia juga adalah perisai atau benteng bagi mencegah
manusia daripada melakukan perbuatan yang buruk dan ditegah,
mengeluarkan tutur kata yang tidak elok, mencetuskan permusuhan ke atas
orang lain, serta melindungi diri daripada bertuhankan nafsu syahwat
yang selalu mengajak manusia melakukan perkara-perkara kejahatan dan
berbuat dosa.
Hal ini dinyatakan dengan jelas sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: "Puasa itu ibarat perisai. Semasa berpuasa, janganlah kamu
mengucapkan kata-kata kotor dan tidak enak didengar, dan jangan pula
sibuk bertengkar. Jika ada di antara kamu yang memaki atau mengajak
berkelahi, maka hendaklah kamu katakan kepadanya, 'sesungguhnya aku
sedang berpuasa" (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Daripada hadis di atas memperlihatkan kepada kita bahawa ibadah puasa
secara tidak langsung dapat melatih serta mendidik diri untuk bersabar
dan sentiasa menahan gejolak hawa nafsu serta amarah dalam menghadapi
apa jua situasi hatta apabila berdepan dengan sebarang provokasi yang
boleh menimbul dan mencetuskan permusuhan sesama manusia.
Dalam erti kata lain, ibadah puasa mampu memberi impak yang cukup
besar dalam pembentukan akhlak serta keperibadian yang terpuji dan
unggul. Malah, ia adalah perisai yang cukup utuh dalam mencegah
seseorang daripada mengikut hawa nafsu untuk berbuat dosa dan maksiat
yang seterusnya boleh mengundang kemurkaan Allah.
Jika diamati pada hari ini, didapati bukan sedikit manusia yang
dikuasai oleh hawa nafsu sehingga menuruti apa sahaja keinginan mereka
walaupun ia adalah sesuatu yang batil yang boleh merosak dan merugikan
bukan sahaja diri mereka sendiri tetapi juga orang lain.
Oleh sedemikian, Islam sangat menuntut kita untuk memerangi hawa
nafsu yakni dengan maksud mengendalikannya dengan sebaik mungkin agar
diri kita terhindar daripada melakukan perkara-perkara mungkar yang
ditegah oleh Allah.
Perlu difahami bahawa pengendalian hawa nafsu di sini bukan bermaksud
perlu membunuh nafsu secara keseluruhannya sehingga menyebabkan kita
tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi,
sebaliknya pengendalian ini bermaksud mengurus dan memerangi hawa nafsu
agar bertindak secara seimbang dan rasional terutamanya dalam menentukan
perlakuan baik dan buruk sebagaimana yang digariskan oleh Islam.
Perlu diingat bahawa, sekiranya manusia mengalami kekalahan dalam
peperangan dengan hawa nafsu, maka ia akan mengundang malapetaka yang
besar kerana manusia yang kalah dalam peperangan ini mungkin akan
cenderung mengalihkan pengabdian mereka daripada Allah kepada tuntutan
hawa nafsu yang seterusnya boleh membawa manusia kepada kesesatan.
Hal ini dinukilkan menerusi firman Allah SWT dalam surah
al-Jaathiyah, ayat 23 yang bermaksud: "Maka pernahkah kamu melihat orang
yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya
sesat kerana diketahui-Nya (bahawa dia tetap kufur dan ingkar)".
Melalui ibadah puasa, manusia dilatih menguasai hawa nafsu sekali gus
menjadikan jiwa mereka lebih kuat untuk memerangi segala bentuk
dorongan nafsu jahat yang boleh merosakkan, sekali gus berhasil
memperolehi darjat yang tinggi serta mampu mengetuk dan membuka
pintu-pintu langit sehingga segala doa mereka dimakbulkan oleh Allah,
sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ada tiga golongan yang
tidak ditolak doa mereka yakni orang yang berpuasa hingga berbuka,
pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi" (Hadis riwayat
at-Tirmizi).
Dalam kehidupan seharian, akhlak yang baik dan terpuji adalah aspek
terpenting yang perlu dimiliki oleh setiap individu terutamanya dalam
memastikan kebangkitan umat ke arah pembinaan peradaban yang lebih
cemerlang dari semasa ke semasa.
Oleh itu, bulan Ramadan yang mulia ini seharusnya dijadikan sebagai
medium dalam membentuk semula kepincangan akhlak yang mungkin berlaku
dalam diri umat Islam pada ketika ini, serta asas kebangkitan dan titik
tolak perubahan diri ke arah menjadi insan yang lebih baik.
Ini kerana, puasa adalah medan terbaik untuk penggemblengan diri bagi
individu yang melaksanakannya ke arah membentuk akhlak mulia dan
ketakwaan kepada Allah SWT, seterusnya melahirkan rasa sentiasa berada
dalam pengawasan Allah dan terhindar daripada melakukan perkara-perkara
yang bertentangan dengan syariat.
Ibn al-Qayyim pernah mengatakan bahawa: "Puasa memiliki pengaruh yang
sangat kuat dalam menjaga anggota tubuh yang bersifat lahiriah dan juga
kekuatan batin serta melindunginya daripada faktor-faktor merosakkan.
Jika faktor-faktor tersebut telah menguasai diri, maka ia akan rosak.
"Oleh sedemikian, puasa dapat menjaga kejernihan hati dan kesihatan
anggota badan sekali gus mengembalikan segala sesuatu yang telah
berhasil dirampas oleh nafsu syahwat. Puasa merupakan pembantu paling
besar dalam merealisasikan ketakwaan..."
* PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan
Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam (IKIM)
Home »
Bicara Islam
» Ramadan membentuk akhlak mulia dan ketakwaan
Ramadan membentuk akhlak mulia dan ketakwaan
Written By zabidi on Sunday, 6 July 2014 | 20:44
Labels:
Bicara Islam
0 comments:
Speak up your mind
Tell us what you're thinking... !